suria

KSN Lancar Cabutan Undian PPA1M Siri Kedua Hari Ini

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada Jumaat melancarkan cabutan undian Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) siri kedua membabitkan 1,062 unit rumah di Pangsapuri Seruling, Presint 5 di sini.

Pangsapuri berkenaan akan dibangunkan oleh Putrajaya Holding Sdn Bhd dan dijadual siap pada Disember 2015.

"Cabutan undi PPA1M Pangsapuri Seruling ini menjadikan jumlah keseluruhan cabutan undi untuk projek PPA1M sebanyak 2,325 unit rumah bagi 2013, siri cabutan PPA1M ketiga dijangka berlangsung April tahun depan," katanya dalam sidang media selepas majlis itu.

Turut hadir Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Dr Aseh Che Mat.

Ali turut merasmikan majlis pecah tanah bagi tanah plot PPA1M Larai di Presint 6 membabitkan projek pembinaan 1,680 unit rumah.

Ali berkata PPj akan membangunkan 10,639 unit rumah PPA1M dengan harga mampu milik antara RM150,000 dan RM300,000 berkeluasan 1,000 hingga 1,500kps, mulai 2013 hingga 2018.

"Setakat ini, 10,500 penjawat awam memohon skim PPA1M ini dan saya yakin jumlah rumah yang dibina adalah mencukupi untuk penjawat awam yang bekerja di Putrajaya," katanya.

Projek PPA1AM akan turut dijayakan di Kuala Lumpur, Johor Baharu, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang dan beberapa kawasan lain, kerajaan sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pembinaannya, kata Ali.

Dalam pada itu, kerajaan juga akan mempertimbangkan membina rumah berharga RM90,000 untuk penjawat awam pada masa depan selepas dicadangkan oleh pihak Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Beliau berkata nama pemohon yang berjaya bagi sesi cabutan PPA1M siri kedua itu boleh disemak di laman web PPj di www.ppj.gov.my atau www.putrajaya.gov.my pada 30 Dis.

Pemohon juga boleh menghubungi Bahagian Perancangan Bandar PPj di talian 03-88877165 atau 03-88878312. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

171 Pati Ditahan di Tawau

Artikel Lain