suria

ATM Sedia Tempatkan Mangsa Banjir di Kem Tentera

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menempatkan mangsa banjir dari kalangan orang awam di kem-kem tentera dalam banjir gelombang kedua.

Panglima ATM Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata langkah itu bagi mengatasi masalah kesesakan di pusat penempatan mangsa banjir di lokasi yang mungkin terlibat seperti Pekan, Kuantan dan Jengka di Pahang.

Beliau berkata ini antara persiapan ATM dalam menghadapi jangkaan gelombang kedua banjir bermula esok hingga 22 Dis susulan ramalan hujan lebat.

"Kita juga menyediakan aset termasuk bot tempur, kapal dan aset udara selain kira-kira 3,000 anggota daripada tiga disiplin (udara, laut dan darat) bagi kerja menyelamat dan membantu mangsa banjir," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Institut Pertahanan dan Keselamatan Malaysia (MiDAS TALK) 2013 di sini, Rabu.

Persidangan yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri itu turut dihadiri Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang menyampaikan ceramah bagi mengupas tajuk "The Security Offences (Special Measures) Act SOSMA 2012: It's Implication on Defence and Security".

Zulkifeli berkata selain aset tentera, pihaknya turut menyediakan hospital sementara untuk kemudahan mangsa banjir.

Dalam pada itu, kerajaan digesa meningkatkan usaha tanam semula hutan paya bakau sebagai langkah menangani isu banjir selain mengambil tindakan terhadap peneroka haram.

Pegawai Penyelidik Luar Sahabat Alam Malaysia (SAM) Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata kemusnahan hutan yang disebabkan penerokaan secara berleluasa telah mengakibatkan kawasan tadahan hujan terjejas.

Hasil pemerhatian dan kajian kami mendapati fenomena banjir bukan hanya berlaku disebabkan masalah perparitan yang tidak diselenggara dengan baik tetapi juga disebabkan hakisan tanah di kawasan tadahan hujan.

"Bukan juga kerana laluan sungai sempit. Apabila bukit ditarah, elemen lumpur dan batu akan masuk ke dalam sungai menyebabkan laluan sungai tidak dapat menampung sisa tersebut dan mengakibatkan air sungai melimpah," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain