suria

Pekerja Minta Perlindungan Penyakit Kritikal Skim Faedah Pekerja

KUALA LUMPUR: Pekerja di negara-negara Asia, termasuk di Malaysia, meminta perlindungan penyakit kritikal sebagai elemen paling dikehendaki dalam skim Faedah Pekerja (EB) selepas perlindungan kemasukan hospital berikutan kebimbangan tentang kenaikan kos perubatan dan kedudukan kewangan.

Kajian AIA menunjukkan kurang 10 peratus majikan menawarkan penyakit kritikal sebagai sebahagian daripada skim faedah pekerja yang menimbulkan persoalan adakah program faedah syarikat selaras dengan keperluan sebenar pekerja.

Kajian itu menemu bual 821 pekerja di Malaysia, Hong Kong, Singapura dan Thailand serta 413 syarikat multinasional dan tempatan.

"Kebimbangan utama yang disebut oleh empat daripada lima pekerja adalah peningkatan kos perubatan, diikuti kedudukan kewangan keluarga mereka jika mereka tidak boleh bekerja berikutan penyakit serius, menggariskan kekurangan perlindungan dalam bidang penyakit kritikal," kata AIA dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kajian itu berkata sungguhpun majoriti majikan menerima program EB sebagai insentif untuk menarik dan mengekalkan bakat, ramai yang melihat kos sebagai kekangan ketara untuk menambahkan perlindungan penyakit kritikal dalam skim syarikat.

Secara puratanya, kajian itu menunjukkan perlindungan penyakit kritikal akan menambah 38 peratus kepada premium mereka.

Realitinya, ia mungkin menambah kurang daripada 10 peratus kepada premium keseluruhan mereka atau kurang satu peratus daripada pengeluaran gaji tahunan mereka, kata kajian itu.

Pada kos ini, 73 peratus daripada majikan berminat untuk menambah penyakit kritikal dalam skim syarikat, kata kajian itu.

Mereka juga mungkin boleh menimbangkan untuk menstrukturkan semula skim EB untuk memberikan gabungan faedah yang berlainan untuk memasukkan penyakit kritikal, kata kajian itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain