suria

Shahrizat Gesa Sayap Wanita Lebih Berani Balas Serangan Pembangkang

Shahrizat Abdul Jalil ketika berucap pada Perhimpunan Umno 2013 di PWTC, Rabu. Foto: FAIHAN GHANI/The Star
Shahrizat Abdul Jalil ketika berucap pada Perhimpunan Umno 2013 di PWTC, Rabu. Foto:  FAIHAN GHANI/The Star
Shahrizat Abdul Jalil ketika berucap pada Perhimpunan Umno 2013 di PWTC, Rabu. Foto: FAIHAN GHANI/The Star

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menggesa anggota sayap wanita lebih berani menjawab tohmahan dan membalas serangan pembangkang dalam memastikan kedudukan sayap dalam parti kekal relevan.

Katanya, kumpulan sayap parti itu perlu menjadi suara lantang parti dan tidak dilihat sebagai kumpulan yang lemah.

"Sekian lama Umno lazim menerima tohmahan dan fitnah pembangkang tanpa buat serangan balas...Kita jarang buat pendedahan kemungkaran pembangkang yang bertimbun dan berleluasa.

"Kita dalam Umno sering biarkan pembangkang cucuk hidung rakyat dan melakukan 'rogol politik' tanpa membuat serangan balas," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Umno 2013 di sini, Rabu.

Katanya, pembangkang sering melihat wanita sebagai kelompok yang lemah sehingga mereka melemparkan tohmahan kepada parti terutama sayap Wanita.

Jelasnya, wanita juga tidak harus menjadi jentera pilihan raya sahaja denga menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan sebaliknya perlu menjadi jentera politik yang kuat.

"Saya nampak (pembangkang) oleh kerana kita nampak baik, berhemah...mereka sentiasa lempar tohamahan kepada parti.

"Kita asyik jalankan kerja kebajikan, kemasyarakatan dan tidak berada di barisan hadapan untuk jawab tohmahan-tohmahan ini," katanya.

Selain itu, dalam ucapannya beliau turut menggesa agar penglibatan anggota wanita lebih diperluas.

Katanya, wanita perlu lebih bersuara dalam soal lain seperti perumahan, ekonomi, sosial dan masa depan negara.

Beliau turut menggesa supaya gerak kerja sayap parti diubah dan lebih berjiwa besar.

Artikel Lain