suria

Remaja Lelaki 13 Tahun Dilapor Hilang Selepas Keluar Dari Rumah Sejak Isnin

BUKIT MERTAJAM: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Janggus, Permatang Pauh sejak dua hari lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Superintenden Baharom Abu berkata Muhamad Amirul Wagiman keluar dari rumahnya seorang diri pada 6 petang Isnin dan tidak pulang sehingga hari ini.

"Menurut ibunya yang membuat laporan polis selepas anaknya tidak pulang ke rumah hingga lewat malam, ketika keluar dari rumah, remaja berkenaan memakai baju T merah dan seluar trek hitam.

"Remaja itu, yang hanya berjalan kaki, tidak membawa sebarang beg atau pakaian lain, dan keluarganya telah mencarinya di rumah saudara-mara dan rakan remaja itu tetapi dia tidak mengunjungi rumah mereka," katanya.

Beliau berkata ibu Muhamad Amirul memaklumkan bahawa remaja itu keluar dari rumah selepas dimarahi kerana bergaduh dengan sepupu lelakinya.

Baharom berkata polis percaya remaja itu masih berada di sekitar negeri ini dan berharap Muhamad Amirul pulang ke rumahnya.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat berkaitan Muhammad Amirul diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mustafa Alaidin di talian 017-5474 582 atau Hotline Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah SPT 04-5306 402 atau SMS ke Rakan Cop 32728. - BERNAMA

Artikel Lain