suria

Pengurusan Banjir Di Malaysia Antara Terbaik - Shahidan

KUALA LUMPUR: Pengurusan banjir di Malaysia adalah antara yang terbaik jika dibandingkan dengan negara lain termasuk negara maju seperti Amerika Syarikat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata, terdapat negara maju yang pihak berkuasanya hanya tiba di kawasan banjir seminggu selepas bencana berlaku namun di Malaysia semua pihak sentiasa berada dalam keadaan siap-siaga untuk menghadapi bencana itu.

"Selain jabatan kerajaan terdapat sukarelawan banjir di Perlis dan Kedah yang membantu kerja-kerja memindahkan mangsa dan menyediakan makanan untuk mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir.

"Bantuan RM500 yang diberikan kepada mangsa banjir bukanlah ganti rugi tetapi satu bentuk token," katanya ketika menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini Isnin.

Menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang), Shahidan menjelaskan penggunaan sekolah sebagai pusat pemindahan banjir adalah amalan biasa.

Katanya daripada sejumlah 4,969 pusat pemindahan banjir yang didaftarkan, sebanyak 46 peratus atau 2,331 pusat adalah sekolah manakala selebihnya kompleks penghulu, pusat komuniti dan lain-lain.

"Pembinaan pusat pemindahan banjir baharu yang khusus untuk digunakan semasa bencana adalah tidak wajar kerana langkah ini melibatkan implikasi kewangan yang besar sedangkan fungsi khusus untuk digunakan hanya ketika banjir akan menyebabkan fasiliti itu terbiar semasa ketiadaan bencana," jelasnya.

Shahidan berkata, dalam projek pembinaan sekolah dalam Rancangan Malaysia Ke-10, Jabatan Kerja Raya menetapkan standard setiap sekolah baharu akan dilengkapkan bilik mandi dan tandas untuk menampung keperluan sebagai pusat pemindahan bencana.

"Standard pembinaan ini sudah dilaksanakan di sekolah-sekolah di Johor, Melaka, Perak dan Kedah dan akan diteruskan bagi pembinaan di negeri lain," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri untuk menyediakan bilik yang selamat untuk peperiksaan jika sekolah terjejas akibat banjir.

Ini bagi memastikan calon-calon peperiksaan kerajaan dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat, kata Shahidan. - BERNAMA

Artikel Lain