suria

Dua Beranak Dikhuatiri Lemas Ketika Memancing Di Tanjung Langsat

PASIR GUDANG: Keseronokan tiga beranak melakukan aktiviti memancing berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka dikhuatiri lemas di Perairan Tanjung Langsat di sini, Sabtu.

Abdul Talib Mohd Hadhari, 42, dari Kampung Sungai Redan, Ulu Tiram bersama-sama dua anaknya, Nurul Humairah, 11, dan Mohd Taufik, 8, serta dua lagi rakan keluar memancing di sebuah rumah rakit kira-kira 1.5 kilometer dari Jeti Kampung Tanjung Langsat pada kira-kira 7.30 pagi.

Nurul Humairah berkata pada kira-kira 4.30 petang, adiknya yang sedang bermain air secara tiba-tiba terjatuh ke dalam laut.

Beliau yang panik melihat kejadian itu terus menjerit memberitahu ayahnya yang kemudian terjun untuk menyelamatkan Mohd Taufik.

"Ayah berjaya memaut badan adik dan rakan-rakan ayah campak tali untuk ayah berpaut tapi terlepas," katanya ketika ditemui di jeti Kampung Tanjung Langsat Ahad.

Nurul Humairah berkata kedua-dua mangsa kemudian hilang dihanyut arus deras.

Sementara itu, isteri Abdul Talib, Abidah Atin, 43, berkata beliau mengetahui kejadian yang menimpa suami dan anak bongsunya itu apabila dihubungi Nurul Humairah pada kira-kira 5.05 petang.

Abidah, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Sultan Ismail, membuat laporan di Balai Polis Tiram berhubung kejadian itu.

Beliau berkata ini merupakan kali pertama Abdul Talib membawa anak mereka memancing.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang Fadzil Mohamad berkata sejumlah 48 anggota termasuk dari unit skuba, Jabatan Pertahanan Awam, polis dan Pelabuhan Tanjung Langsat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

"Kita telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat pada kira-kira 12 tengah malam tadi sebelum menyambung semula operasi pada 6.26 pagi," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain