Culik: Empat Pekerja Sekuriti Dijatuhi Hukuman Mati - Semasa | mStar

Culik: Empat Pekerja Sekuriti Dijatuhi Hukuman Mati

SHAH ALAM: Empat pekerja sekuriti dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis setelah didapati bersalah atas pertuduhan menculik sepasang suami isteri untuk mendapatkan wang tebusan RM5,000, lebih dua tahun lepas.

P.Thinagaran, 27, S.S.Arumugam, 24, C.Krishnakumar, 24, dan V.K.Santirasagaran, 32, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu di Jalan Merak, Pusat Bandar Puchong, Selangor, kira-kira pukul 4.30 pagi, 4 Mac 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3, Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Nor Azian Shaari dalam penghakimannya berkata kes culik itu telah menyebabkan keresahan dan kebimbangan kepada anggota keluarga terdekat mangsa.

Beliau berkata pihaknya turut menimbangkan faktor keganasan dalam kes itu di mana isteri mangsa dirogol oleh seorang lelaki bernama Shan yang masih bebas dengan gambarnya dirakam oleh keempat-empat tertuduh.

Katanya, perbuatan itu menyebabkan ketakutan dan trauma yang amat serius kepada suami isteri berkenaan.

Mengikut fakta kes, suami isteri berkenaan telah pergi ke tempat kejadian untuk bertemu lelaki bernama Shan sebelum ditarik dan dimasukkan secara tiba-tiba ke dalam kereta jenis Honda yang dipandu Arumugam dan dinaiki tiga tertuduh lain.

Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke sebuah kawasan di Kampung Tan Sri Manikavasagam, Pulau Carey dan telah dikurung di sebuah rumah kosong yang bersambung dengan kontena panjang yang diubah suai.

Isteri mangsa mendakwa beliau turut dirogol oleh Shan semasa dikurung manakala suaminya menjelaskan beliau dipukul oleh Shan.

Kedua-dua mangsa dibebaskan pada hari kejadian iaitu pada 4 Mac 2011 kira-kira pukul 10 malam setelah wang tebusan sebanyak RM1,500 dibayar dalam dua transaksi ke dalam akaun Maybank yang disahkan dimiliki oleh seorang bernama C. Manimavanan, 43.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal manakala kesemua tertuduh diwakili peguam V.Thiru Kumar dan Amir Faliq. - BERNAMA

Artikel Berikut

Dera: Pemilik Taska Serah Diri

Artikel Berkaitan

Klik

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030... ketahui suara dan harapan rakyat

RAKYAT menantikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 yang dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.

default image

Air Selangor kini pemegang lesen tunggal perkhidmatan bekalan air… pengguna bakal terima bil baharu!

MENDAPATKAN bekalan air bersih yang berterusan sudah menjadi satu kemestian dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Artikel Lain

Nasharudin Mat Isa akan didakwa Selasa