suria

115 Sekolah Menengah Capai Status Sekolah Berprestasi Tinggi - Idris Jusoh

KUALA LUMPUR: Sehingga kini sebanyak 115 Sekolah Menengah telah mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) di seluruh negara, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata daripada jumlah itu, hanya dua buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang mencapai status SBT setakat ini.

"SABK yang mencapai taraf SBT itu ialah Sekolah Menengah Imtiaz Besut, Terengganu dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu," katanya menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) di Dewan Rakyat, Rabu.

Che Mohamad ingin tahu bilangan sekolah yang telah mencapai status SBT dan langkah Kementerian Pendidikan bagi meningkatkan pencapaian Sekolah Menengah Tahfiz seperti Sekolah Menengah Imtiaz Besut, Terengganu sebagai SBT memandangkan terdapat Pengetua yang bukan daripada kategori guru di sekolah berkenaan.

Ketika menjawab soalan tambahan Che Mohamad berhubung langkah kerajaan untuk memperluaskan program Ulul Albab di Sekolah Rendah pada masa depan, Idris berkata setakat ini Kementerian Pendidikan belum bercadang memperkenalkan program berkenaan di peringkat rendah.

"Buat masa ini tiada rancangan untuk memulakan program Ulul Albab di sekolah rendah kerana kita mahu memantapkan terlebih dahulu program Agama di peringkat sekolah menengah," katanya.

Idris berkata sejak program Ulul Albab diperkenalkan pada 1999, 40 peratus pelajar program berkenaan telah berjaya menghabiskan hafazan mengikut tahap yang ditetapkan ketika berada di tingkatan tiga dan tingkatan lima.

"Menghafaz Al-Quran bukan satu perkara yang mudah... Jadi pelajar yang menyertainya telah menjalani sesi temuduga sebelum terpilih untuk memasuki program hafazan (program Ulul Albab) ini," katanya.

Program Ulul Albab merupakan konsep pembelajaran yang menitikberatkan elemen hafazan dan penguasan Al-Quran sebagai asas pembelajaran di samping mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Sementara itu, Idris berkata Kementerian Pendidikan turut melaksanakan program tertentu bagi mengekalkan kecemerlangan SBT seperti program kejurulatihan dan mentor, latihan peningkatan profesionalisme pengetua dan guru besar SBT di Institut Aminuddin Baki dan progam latihan kepada guru melalui Bahagian Pendidikan Guru. - BERNAMA

Artikel Lain