suria

Pemimpin Umno Perlu Teruskan Usaha Menangi Hati Rakyat

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno perlu sedar bahawa masa depan dan kesinambungan parti bukan sekadar bergantung kepada sokongan perwakilan pada pemilihan kali ini, sebaliknya mereka perlu berusaha memenangi hati rakyat untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Pengarang Akhbar Kosmo Baharom Mahusin menarik perhatian bahawa ada berjuta-juta lagi rakyat Malaysia di luar lingkungan Umno yang perlu ditemui dan dipengaruhi untuk menyokong Umno dan Barisan Nasional bagi mempastikan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Mereka perlu sedar bahawa kemenangan (dalam pemilihan Umno semata-mata) itu tak cukup, dengan PRU14 bakal diadakan sebelum 2018... di luar sana ada orang tak jadi anggota Umno.

"Oleh itu, cara berkomunikasi dan menyampaikan mesej perlu berbeza. Jadi, mereka perlu sedar bahawa mereka kini berpolitik dalam realiti sebegini," katanya ketika menjadi tetamu dalam program Soal Jawab terbitan TV3 yang dikelolakan Pengarah Eksekutif, Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad Datuk Ahmad A. Talib malam Rabu.

Program itu, antara lain, mengupas isu berkaitan pemilihan tiga sayap Umno yang berlangsung Sabtu lepas dan pemilihan peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi parti berkenaan Sabtu ini.

Seorang lagi tetamu undangan, Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh berkata Umno kini berada dalam kedudukan 'paling getir' meskipun menunjangi kemenangan BN pada PRU 2008 dan 2013.

Beliau berkata untuk meningkatkan sokongan rakyat terhadap Umno, pemimpin parti perlu lebih banyak turun ke lapangan serta parti bersifat lebih inklusif dalam memastikan perjuangan mereka membawa impak lebih besar di peringkat akar umbi.

"Ada orang masih lihat Umno sebagai sebuah parti bersifat eksklusif... kewujudan sesuatu cawangan Umno itu perlu dilihat dapat memayungi seluruh penduduk setempat... apabila Umno terlalu kejar benda lain selain khidmat kepada masyarakat, mereka (masyarakat) akan rasa tersisih daripada parti," katanya.

Dalam konteks ini, Zulkefli menarik perhatian bahawa Pergerakan Wanita Umno mempunyai lebih kelebihan kerana mereka dilihat lebih rapat dengan masyarakat kampung hasil gerakan aktif selain mengamalkan sikap lebih inklusif.

"Saya fikir orang kampung lebih senang berinteraksi dengan Wanita berbanding gadis yang mewakili Pergerakan Puteri dari Kuala Lumpur (misalnya)," katanya.

Dalam pada itu, Zulkefli berkata Umno perlu memastikan bahawa transformasi yang dilakukannya susulan pindaan Perlembagaan Parti pada 2009 dihargai pengundi, bukannya tidak dipedulikan mereka.

"Masyarakat perlu difahamkan bahawa apa yang berlaku (transformasi dan peremajaan) dalam Umno adalah untuk kebaikan mereka juga," katanya.

Beliau berkata usaha meremajakan Umno juga bermaksud membuka ruang kepada golongan yang mempunyai idea baharu untuk naik dan membantu memperkukuh parti. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain