suria

Syarat Kempen Ketat Tiada Kaitan Dengan Jawatankuasa Pemilihan - Tajol Rosli

KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali memberi penekanan bahawa pihaknya tidak terlibat dan tidak mempunyai kuasa meminda Perlembagaan dan Tataetika Ahli Umno.

Katanya, jawatankuasa menerima banyak kritikan dan kenyataan terutama berkaitan syarat berkempen yang dikatakan terlalu ketat dan meminta supaya pihaknya membuat pertimbangan mengenai perkara berkenaan.

"Ini (syarat) terdapat dalam buku Perlembagaan Umno. Urusetia cuma cetak balik dan edarkan...Banyak orang ada buku ini tapi dia tak baca.

"Hanya Majlis Tertinggi (MT) berkuasa meminda Tataetika ini dari masa ke semasa. Jawatankuasa Disiplin dan Pemilihan tak ada kuasa," katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno di sini, Isnin.

Menurut Tajol Rosli, syarat calon tidak dibenarkan berkempen melalui media massa dan laman sosial turut terdapat dalam Tataetika Ahli Umno.

Katanya, dalam hal ini beberapa pihak turut mengaitkannya dengan jawatankuasa pemilihan yang sebenarnya hanya bertindak mengikut landasan yang ditetapkan Perlembagaan.

"Saya minta mana-mana pihak yang mengkritik, kata jawatankuasa terlalu bertegas, saya terpanggil untuk menjawab sebenarnya Perlembagaan yang tegas.

"Kalau yang keluarkan kenyataan (mengaitkan jawatankuasa) ini ahli Majlis Tertinggi, saya tak tahu sama ada dia sudah baca buku Perlembagaan atau belum," katanya.

Ditanya sama ada jawatankuasa akan mencadangkan kepada MT supaya syarat berkempen dipinda beliau menjawab: Kita sebagai kepala kereta api hanya bergerak ikut landasan. Kalau landasan berubah kita ikut landasan. Tak payahlah kita cadangkan.

Artikel Lain