suria

Penutupan Sementara Beberapa Lorong Untuk Projek MRT

KUALA LUMPUR: Beberapa lorong di ibu kota ditutup sementara di ibu kota berikutan kerja pembinaan bagi projek Mass Rapid Transit (MRT) bermula Isnin.

Antara jalan terbabit ialah jalan susur di persimpangan Maarof di Bangsar, yang akan dilanjut sehingga 31 Oktober bagi memudahkan pembinaan tiang serta stesen MRT Pusat Bandar Damansara.

Menurut kenyataan MRT Sdn Bhd (MRT Corp), jalan terbabit akan ditutup secara berkala dari 9 malam hingga 6 pagi setiap hari dan sepanjang tempoh ini, trafik dari Jalan Maarof (dari Bangsar) ke Lebuhraya Sprint (menghala Petaling Jaya) akan dilencong ke Jalan Johar melalui Kompleks Pusat Bandar Damansara dan kembali ke Lebuhraya Sprint.

Sementara itu, lorong paling kanan di kedua-dua arah Jalan Hang Jebat di depan YWCA bagi jarak 150 meter, akan ditutup pada sebelah malam mulai Isnin hingga 30 November dari 10 malam hingga 5 pagi setiap hari.

Penutupan lorong itu adalah bagi memudahkan kerja utliti dan aliran trafik tidak dijangka sepanjang tempoh ini kerana ia akan dilakukan pada lewat malam sehingga awal pagi esoknya.

MRT Corp juga menyatakan lorong di Lebuhraya Sprint akan disempitkan selama dua minggu dari Isnin hingga 21 Oktober bagi memudahkan kerja menanam cerucuk sebagai persediaan membina tiang bagi projek MRT.

Sementara itu, persimpangan lampu isyarat di Persiaran Surian ke Jalan PJU 5/1 (menghala Sungai Buloh) akan ditutup mulai Rabu dan pengguna jalan raya yang ingin ke Sungai Buloh tidak dibenar membelok ke kanan di simpang Jalan PJU 5/1 ke arah Pasaraya Giant.

Bagaimanapun, mereka boleh mengakses Sunway Damansara dengan memandu sejauh 50 meter ke depan ke persimpangan lampu isyarat seterusnya di Persiaran Mahogani ke arah simpang Jalan PJU 5/19. - BERNAMA

Artikel Lain