suria

Pertubuhan Anak Cerebral Palsy Mohon Kerajaan Bina Sekolah Khas

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Anak Cerebral Palsy Malaysia (Hope2Walk) menyerahkan memorandum kepada kerajaan bagi memohon agar diwujudkan sekolah khas kepada golongan orang kelainan upaya ini.

Memorandum itu diserahkan oleh Naib Pengerusinya, Mohd Affandi Ramli kepada Ahli Parlimen Rembau (BN) Khairy Jamaluddin kira-kira pukul 11 pagi di lobi Parlimen pada Rabu.

"Bersempena dengan Hari Cerebral Palsy Sedunia, saya memohon agar kerajaan membina sekolah khas kepada golongan ini.

"Di Malaysia, belum ada sekolah untuk golongan OKU ini. Mereka sebenarnya mempunyai potensi untuk digilap," katanya.

Mohd Affandi turut hadir bersama anak perempuannya, An-Nur, 10, yang mengalami kecacatan Celebral Palsy yang juga didefinisikan sebagai kelumpuhan otak.

"Golongan ini memerlukan sekolah harian untuk pemulihan. Oleh kerana tiada pendidikan khas, kualiti kesihatan mereka merosot," katanya.

Menurut Mohd Affandi, golongan tersebut dikategorikan sebagai 'OKU Terlantar' kerana dilahirkan terencat perkembangan dan pembesaran serta tidak dapat menguruskan diri.

"Ibu bapa atau penjaga OKU kategori ini yang berdaftar akan menerima elaun RM 300 setiap bulan. Apakah bantuan yang diberikan mampu menutup permasalahan ini?," soalnya.

Sehubungan itu, Mohd Affandi berharap agar kerajaan mengambil langkah proaktif bagi memastikan penderitaan golongan ini akan terbela.

Artikel Berikut

Artikel Lain