suria

KPM Mungkin Kaji Semula Proses Lantikan Syarikat Keselamatan Sekolah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mungkin mengkaji semula proses lantikan syarikat kawalan keselamatan di sekolah bagi memastikan masalah dan kekurangan berkaitan pengawal keselamatan sekolah yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 dapat diatasi.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata pihaknya kecewa dengan syarikat kawalan keselamatan terbabit kerana gagal mematuhi perjanjian dan melaksanakan tanggungjawab seperti yang dipersetujui.

"Kementerian sedang meneliti perkara ini secara terperinci dan akan mengikut cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh Ketua Audit Negara 2012 supaya perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Temasya Sukan Tahunan ke-29 Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di sini, Rabu.

Laporan audit itu menyatakan semakan audit di 35 sekolah terpilih mendapati terdapat seorang pengawal keselamatan sekolah mempunyai rekod jenayah manakala 76 pengawal dikesan tidak dapat mengemukakan tapisan keselamatan dari balai polis berhampiran atau Kementerian Dalam Negeri bagi membuktikan mereka tiada sebarang rekod jenayah.

Selain itu, terdapat juga pengawal yang melebihi had umur dan gagal mengemukakan kepada pihak audit laporan kesihatan dari hospital kerajaan bagi membuktikan mereka masih sihat dan dapat menjalankan tugas sebagai pengawal.

Sementara itu, Kamalanathan berkata Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang akan dilaksanakan mulai tahun depan bagi menggantikan Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) adalah lebih sesuai kerana ia membolehkan para ibu bapa mengawal dan menyemak status anak-anak mereka di sekolah.

"Ia ialah sistem yang adil di mana prestasi pelajar boleh disemak dan mereka juga boleh mengetahui bagaimana anak-anak mereka diteliti di sekolah," katanya.

PBS dilaksana oleh KPM bagi meningkatkan prestasi pelajar yang selama ini dikatakan terkongkong dengan sistem penilaian berasaskan peperiksaan.

Ia merupakan pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Korikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Kemajuan dan pertumbuhan seseorang murid pula dinilai secara adil dengan menggunakan Standard Prestasi. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain