suria

Projek Penyambungan Jajaran LRT Laluan Ampang Dan Kelana Jaya Siap 41.5 Peratus

KUALA LUMPUR: Status kemajuan kerja bagi keseluruhan projek penyambungan jajaran transit aliran ringan (LRT) bagi laluan Ampang dan Kelana Jaya adalah pada tahap 41.5 peratus, sehingga 30 Ogos lepas, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, status kemajuan bagi projek tersebut mengalami kelewatan sebanyak 19.8 peratus, dan ia dijangka siap pada suku pertama 2016.

"Kelewatan tarikh siap berkenaan adalah disebabkan masalah yang timbul semasa kerja pembinaan hendak dilaksanakan, terutamanya perkara-perkara teknikal seperti penemuan kabel dan paip bawah tanah yang perlu dipindahkan sebelum pembinaan struktur sokongan LRT.

"Selain itu, kesukaran mendapatkan maklumat tepat berhubung kedudukan kabel dan paip bawah tanah, pertukaran reka bentuk struktur sokongan selepas mengambil kira kesesuaian dan keadaan sebenar tanah dan geologi di kawasan pembinaan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan kedudukan terkini projek berkenaan.

Najib menjelaskan kelewatan tarikh siap projek itu adalah bagi membolehkan masalah-masalah teknikal berkenaan diatasi kerana apa yang perlu diutamakan adalah keselamatan pengguna LRT kelak.

Katanya, pada masa ini, antara kerja pembinaan yang sedang giat dilaksanakan adalah kerja-kerja sivil termasuk penanaman cerucuk, pembinaan stesen dan pembinaan landasan jajaran.

Katanya, kos asal pembinaan projek penyambungan jajaran LRT bagi kedua-dua laluan berkenaan masih lagi kekal sebanyak RM8 bilion dan pada masa ini, tiada peningkatan kos projek kerana proses perolehan pakej kerja dilaksanakan dengan telus serta berintegriti melalui tender terbuka.

Beliau berkata, perkhidmatan LRT di Lembah Klang perlu ditingkatkan dan diperkukuhkan berikutan permintaan yang tinggi serta menggalakkan daripada rakyat.

"Jumlah penumpang LRT secara purata setiap hari adalah sekitar 429,000 orang di mana perkhidmatan LRT berupaya menampung kapasiti sehingga 678,000 orang sehari.

"Berdasarkan kepada permintaan yang menggalakkan, syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) sedang giat melaksanakan projek penyambungan jajaran itu yang melibatkan jajaran baharu sepanjang 35 kilometer.

"Sebanyak 13 buah stesen baharu akan dibina di LRT laluan Kelana Jaya bermula dari stesen LRT Kelana Jaya sehingga ke stesen LRT Putra Heights dan sebanyak 11 buah stesen baharu akan dibina bermula dari stesen LRT Sri Petaling ke stesen LRT Putra Heights," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain