suria

Kerajaan Nafi Dakwaan 1.4 Juta Pekerja Bangladesh Dibawa Masuk - Ismail

KUALA LUMPUR: Kerajaan menafikan dakwaan yang menyatakan 1.4 juta pekerja Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini untuk menampung kekurangan pekerja dengan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak benar, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Ismail Abd Muttalib.

Sebaliknya beliau berkata angka itu merujuk kepada jumlah pencari kerja dari Bangladesh yang telah mendaftar dengan kerajaan negara itu untuk menawarkan diri bekerja di Malaysia.

Ismail berkata dasar kemasukan pekerja Bangladesh berdasarkan perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negara itu dengan Malaysia yang ditandatangani tahun lepas.

"MoU itu menetapkan kemasukan pekerja Bangladesh hanya dibenarkan melalui mekanisme kerajaan kepada kerajaan (G2G) dan proses kemasukan diuruskan agensi kerajaan yang berkaitan di kedua-dua negara terlibat.

"Ia tidak melibatkan ejen atau pihak ketiga," katanya menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) yang ingin tahu perkembangan mengenai perkara itu.

Ismail berkata selain perlu mematuhi beberapa syarat khusus yang ditetapkan kerajaan Malaysia seperti menjalani pemeriksaan kesihatan dan latihan induksi, data-data pencari kerja dari Bangladesh juga akan ditapis Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

Sehingga 23 September, 8,703 dokumen pekerja telah dihantar untuk proses tapisan dan 2,288 telah ditapis PDRM dengan 75 pemohon dikesan memiliki rekod jenayah, katanya.

Beliau memaklumkan Dewan Rakyat terdapat 11 syarikat perladangan yang memohon 1,640 pekerja Bangladesh melalui mekanisme G2G tetapi hanya tiga syarikat dibenarkan berbuat demikian iaitu Sime Darby, UP Plantation dan Kulim Plantation melibatkan 1,145 pekerja yang diluluskan.

Bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan prosedur pengambilan, hanya majikan yang benar-benar layak akan diberi kelulusan memohon pekerja Bangladesh selain mengenakan bon jaminan untuk mewajibkan mereka hadir mengambil pekerja pada masa yang ditetapkan. "Pekerja yang tidak dituntut akan ditempatkan sementara di 'processing house' sehingga proses penggantian majikan dilaksanakan dengan kosnya ditanggung oleh bon jaminan yang dikenakan kepada majikan," jelasnya.

Menjawab soalan Abdul Manan mengenai langkah mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini, Ismail berkata strategi Lautan Biru Kebangsaan yang dilaksanakan merentas pelbagai kementerian telah menunjukkan hasil.

Katanya, jumlah pekerja asing dalam sektor awam telah dapat dikurangkan kepada 2.1 juta pada masa ini berbanding 2.2 juta pada Jun lepas.

Beliau berkata majikan digalak menawarkan pekerjaan kepada rakyat tempatan terlebih dahulu sebelum memohon untuk mengambil pekerja asing bagi menampung kekosongan jawatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain