suria

Tindakan Hanya Diambil Selepas Laporan Penuh RCI Sabah Siap

KUALA LUMPUR: Tiada sebarang tindakan diambil terhadap mana-mana individu sejak Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pendatang asing tanpa izin di Sabah dijalankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kerajaan akan hanya mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam penyelewengan projek pemberian kad pengenalan (Projek IC) palsu kepada rakyat asing di Sabah sebaik sahaja laporan penuh daripada RCI disiapkan sepenuhnya.

Beliau berkata, suruhanjaya itu yang sepatutnya berakhir pada 21 September lalu dilanjutkan sehingga 21 Disember bagi menyelesaikan siasatan dan penyediaan laporan.

"Semua perkara yang dibangkitkan dalam RCI akan diambil tindakan. Kita akan tahu berapakah angka sebenarnya selepas siasatan selesai.

"Setelah siasat, ada kesalahan, kita pasti akan ambil tindakan, jadi kita minta bersabar dahulu, apa yang dibangkit dalam suruhanjaya itu bukan satu keputusan," katanya kepada Dewan Rakyat ketika menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pada Selasa. Johari dalam soalannya, meminta kerajaan menyatakan berapakah tangakapan yang telah dibuat terhadap mereka yang terlibat dalam jenayah Projek IC di Sabah.

Menurut Shahidan, mana-mana pihak yang mengesan terdapat sindiket pemberian IC kepada warga asing, boleh terus membuat laporan kepada polis.

RCI mula bersidang Januari lepas bagi menyiasat dakwaan kewarganegaraan Malaysia diberikan kepada pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Minggu lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memberi keterangan dalam prosiding RCI menyalahkan pegawai berpangkat rendah kerana memberikan kad pengenalan kepada imigran di Sabah.

Bekas Perdana Menteri itu memberitahu panel prosiding RCI bahawa kerajaan tidak pernah mempunyai polisi yang membenarkan kad pengenalan Malaysia diberikan kepada imigran di Sabah yang tidak layak.

Beliau dilaporkan berkata kerajaan juga berpendirian mengiktiraf mereka yang layak sahaja akan diberikan taraf kewarganegaraan.

Artikel Lain