suria

Saya Boleh Jadi Lebih Baik Di Luar Umno - Nur Jazlan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed boleh menempa nama dalam sektor korporat dengan mudah jika tidak menyertai politik, tetapi mempunyai bapa yang juga seorang tokoh politik ternama membuatkannya memilih haluan berbeza.

"Situasi saya unik. Saya mempunyai pilihan. Saya boleh lakukan lebih baik di luar (politik). Dalam erti kata lain, atas galakan bapa, saya minat politik untuk menjadikan negara ini lebih baik.

"Jadi saya menyertai politik. Saya ada pilihan tetapi sudah terlalu tua untuk kembali ke sektor korporat," kata Nur Jazlan, anak sulung bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat.

Mempunyai latar belakang korporat, di mana dia meninggalkan jawatannya sebagai Pegawai Kewangan Proton-DRB Sdn Bhd, Nur Jazlan sentiasa digelar pemimpin progresif, sifat yang jarang ada di dalam Umno.

Walaupun dia mengetahui peluang tipis untuk menyinar dalam sebuah parti politik seperti Umno, ia tidak menghalang niat pemimpin berusia 47 tahun itu untuk bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno pada pemilihan parti kali ini.

"Saya harap saya dapat menjadi salah satu perubahan itu dan amat berharap mereka yang mempunyai pemikiran sama dapat menyertai Majlis Tertinggi dan kemudian kita akan berjuang untuk lebih ramai (seperti kita) untuk turut serta. Peluang saya? Tidak memuaskan," selorohnya.

Ketika ditanya mengapa dia tetap kekal dalam bidang politik selepas mengetahui nasibnya, beliau berkata adalah ia adalah suatu tanggungjawab sebagai balasan sumbangan dan pengorbanan bapanya kepada parti.

"Bagaimana anak Tok Mat (gelaran kepada bapanya) antara seorang yang membina semula Umno (apabila ia diisytiharkan haram) berputus asa dan lompat parti? Ia akan menjadikan perjuangan bapa saya tidak bermakna," katanya.

Artikel Lain