suria

Mukhriz Tanding Naib Presiden: Langkah Pembaharuan Remajakan Parti - Penganalisis

KUALA LUMPUR: Pengumuman Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir mahu bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti Oktober ini dilihat sebagai langkah positif untuk menyuntik darah muda dalam parti.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata hasrat Mukhriz untuk menyertai barisan nombor tiga parti itu dilihat akan mengimbangkan antara pemimpin yang berpengalaman dengan yang berfikiran muda.

"Bila ada pertandingan, ia lebih bersifat terbuka dan perwakilan akan dapat pilihan pelbagai calon dalam membuat keputusan pada hari pemilihan nanti iaitu ada yang muda, dan ada juga yang daripada umur pertengahan," katanya.

Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata bagaimanapun Mukhriz perlu bekerja keras kerana beliau dilihat sebagai 'orang baharu' berbanding naib-naib presiden sekarang yang terlalu luas pengalaman dan banyak perkhidmatan yang telah diberikan kepada rakyat dan anggota akar umbi.

"Peluang Mukhriz boleh dikatakan 50-50, perwakilan akan lihat rekod pencapaian dan KPI yang telah dibuat olehnya selama ini, dari segi perkhidmatannya kepada rakyat.

"Sebagai bekas timbalan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selama satu penggal dan kemudian dilantik sebagai menteri besar, faktor ini memberikan nilai tambah kepada Mukhriz untuk meraih undi daripada perwakilan," katanya.

Beliau berkata perwakilan perlu rasional memilih pemimpin dan menilai ketokohan, sumbangan serta adakah calon-calon itu boleh berganding bahu bersama-sama kepimpinan tertinggi parti bagi membawa Umno terus maju ke hadapan.

"Mereka yang bertanding ini amat bergantung kepada prestasi, bagaimana perkhidmatan yang akan diberikan, ini akan dinilai oleh perwakilan," katanya.

Bekas pensyarah di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata Mukhriz perlu membuktikan kemampuan dan ketokohannya bagi memastikan bahawa parti itu kekal relevan.

"Kita hendak tengok apakah Mukhriz tokoh yang akan memacu Umno pada masa hadapan, apakah dengan kemasukan beliau akan membawa suntikan semangat untuk meremajakan parti dan dapat bergerak seiring dengan orang lama," katanya.

Beliau berkata konsep peremajaan boleh bermaksud sama ada membawa masuk generasi muda ataupun menyuntik semangat baharu kepada pemimpin sedia ada.

Zainal Abidin berkata mereka yang berhasrat untuk bertanding pelbagai jawatan pada pemilihan Umno bulan depan mempunyai tugas besar untuk membawa kejayaan perjuangan parti khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Dengan pengumuman Mukhriz pada Khamis, menjadikan jumlah yang berhasrat bertanding merebut tiga jawatan naib presiden kepada enam orang.

Tiga naib presiden - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - masing-masing mengumumkan akan mempertahan jawatan mereka.

Dua lagi yang bakal bertanding ialah Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam. - BERNAMA

Artikel Lain