KUALA LUMPUR: Isu pengundi Bangladesh dan gangguan bekalan elektrik semasa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada Mei lepas adalah antara soalan yang akan dijawab oleh kerajaan pada persidangan Dewan Rakyat Isnin ini.Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, yang bertanggungjawab mengenai Parlimen berkata: "Pada persidangan kali ini kita akan menjawab beberapa isu termasuklah dakwaan kononnya 40,000 warga Bangladesh mengundi pada PRU-13". Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Parlimen ke-13 bagi persidangan Dewan Rakyat akan bermula Isnin ini, dan berlangsung selama lapan hari sehingga 3 Oktober depan, katanya pada sidang akhbar di sini Rabu.Beliau berkata persidangan Dewan Negara pula dijadualkan bermula selepas persidangan Dewan Rakyat, iaitu pada 7 Oktober selama empat hari.Shahidan berkata isu warga Bangladesh mengundi pada PRU-13 perlu dibangkitkan dalam Parlimen supaya rakyat tidak terus dibohongi.Shahidan menambah dua notis mengenai rang undang-undang baru, yang enggan diulasnya, telah dihantar kepada semua anggota Parlimen. - BERNAMA