suria

Nur Jazlan Tawar Diri Bertanding MT Umno

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed menawarkan diri untuk bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau berkata kesediaannya untuk bertanding kerusi berkenaan adalah bagi membantu Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak meremajakan parti.

"Perdana Menteri telah menzahirkan misi itu melalui pelantikan muka-muka baharu dalam kabinet beliau," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja rasmi pertama ke Jabatan Audit Negara pada Isnin.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara itu berkata rakyat sememangnya mahukan muka-muka baharu untuk memimpin parti.

"Setiap kali orang-orang lama menang, mereka janjikan perubahan tetapi perubahan masih tidak berlaku," katanya.

Nur Jazlan berkata Umno memerlukan perubahan secara fizikal bagi memastikannya terus mendapat sokongan rakyat.

Selain beliau, Menteri Pendidikan Kedua yang juga Anggota Parlimen Besut Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat Dr Mohd Puad Zarkashi turut menyatakan hasrat yang sama untuk merebut jawatan berkenaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain