suria

Polis Buka 56 Fail Kes di Bawah PCA Berikutan Ops Cantas - KPN

KUALA LUMPUR: Polis telah membuka 56 fail kes di bawah Akta Pencegahan Jenayah (PCA) berikutan lebih 3,000 tangkapan dibuat dalam Ops Cantas Khas yang dilancarkan sejak 17 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata daripada 56 fail kes itu, sebanyak 21 orang telah ditahan reman di bawah Akta PCA 1959 dan Akta 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Sementara itu, sembilan pendakwaan akan dijalankan dengan 11 kes masih dalam siasatan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di wacana sehari bertajuk "Masyarakat dan Jenayah: Di Manakah Kita" di sini, Khamis.

Beliau berkata tangkapan yang dibuat di bawah PCA itu turut membabitkan kegiatan kongsi gelap.

"Mungkin jumlah itu (kes di bawah PCA) akan bertambah dengan beberapa siri Ops Cantas yang akan dilakukan dari semasa ke semasa," katanya pada majlis anjuran Majlis Profesor Negara (MPN) dengan kerjasama Berita Harian (BH).

Turut hadir pengerusi MPN Professor Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid dan Pengarang Kumpulan BH Datuk Mior Kamarul Shahid.

Dalam ucaptamanya, Khalid berkata Ops Cantas telah mendatangkan hasil di mana indeks kadar jenayah menunjukkan penurunan yang agak signifikan.

"Daripada 17 hingga 31 Ogos lepas, contohnya, kita telah membuat pemeriksaan terhadap 139,342 personel dan membuat tangkapan terhadap 3,205 suspek bagi tujuan siasatan. "Begitu juga dengan 84,011 pemeriksaan kenderaan dilakukan bagi mengesan barang-barang terlarang seperti senjata api, dadah dan sebagainya," katanya.

Katanya, perbandingan statistik dalam tempoh dua minggu dari 1 hingga 16 Ogos lepas, berbanding 17 hingga 31 Ogos telah menunjukkan impak Ops Cantas dengan jenayah kekerasan menurun kepada 1,067 kes daripada 1,162 kes iaitu penurunan 8.2 peratus.

Khalid juga berharap pindaan PCA dapat dilakukan segera bagi membolehkan polis menjalankan tanggungjawabnya dengan berkesan. Ini adalah kerana jenayah kekerasan didapati meningkat dengan pemansuhan undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat (E0) dan Akta Kediaman Terhad, katanya.

Khalid berkata jika dibandingkan statistik bagi tempoh 20 bulan sebelum dan selepas pemansuhan undang-undang pencegahan, iaitu daripada 12 April 2010 sehingga 21 Disember 2011 berbanding 22 Disember 2011 sehingga 31 Ogos 2013, statistik jenayah kekerasan telah menunjukkan peningkatan sebanyak 5.43 peratus atau 2,351 kes daripada 43,313 kes kepada 45,664 kes.

Bagi statistik kes bunuh menggunakan senjata api juga telah menunjukkan peningkatan daripada 64 kes kepada 130 kes iaitu peningkatan sebanyak 103.1 peratus dalam tempoh yang sama, katanyanya. -BERNAMA

Artikel Lain