suria

PM Lancar Projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat melancarkan projek Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata yang pertama di negara ini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras.

Hospital moden dan berteknologi tinggi bernilai RM606 juta yang dijangka siap pada 2017 itu akan secara komprehensif memberi fokus kepada disiplin pediatrik atau kesihatan kanak-kanak.

Najib berkata, pelbagai bidang perawatan ditawarkan termasuk surgeri laparoskopik yang minimum invasi, perkhidmatan kardiologi dan kardiotoraksik, implan koklear, pemindahan sumsum tulang, perkembangan kanak-kanak, genomik pediatrik dan endokrinologi pediatrik.

Katanya, pembinaan hospital itu, dan sebuah lagi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak yang sedang dibina di Hospital Kuala Lumpur, menandakan bahawa bidang kesihatan negara sememangnya berada pada landasan yang betul untuk memasuki liga negara maju.

"Ciri-ciri mesra kanak-kanak dan ibu bapa diberi keutamaan dalam pembinaan Hospital Pakar Kanak-Kanak Permata ini, memberikan suasana yang dapat mengurangkan tekanan, keresahan dan kesakitan yang dialami kanak-kanak," katanya ketika berucap melancarkan projek pembinaan hospital itu.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang juga penaung Permata Negara. - BERNAMA

Artikel Lain