suria

Palanivel Lepas Jawatan Presiden MIC Pada 2016, Beri Laluan Kepada Dr Subramaniam

G. Palanivel (kiri) dan Dr S. Subramaniam.
G. Palanivel (kiri) dan Dr S. Subramaniam.
G. Palanivel (kiri) dan Dr S. Subramaniam.

KUALA LUMPUR: Presiden MIC, G Palanivel akan kekal sebagai presiden sehingga suku pertama 2016 sebelum melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam untuk mengelakkan pertandingan dalam jawatan tertinggi pada pemilihan parti akan seterusnya.

Palanivel berkata kompromi telah dicapai berikutan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad.

"Perdana Menteri menasihatkan kami untuk mengelakkan pertandingan dan kami telah membuat keputusan untuk kekal dengan keputusan itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pengerusi bahagian di ibu pejabat MIC di sini Khamis.

Bekas Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu hadir bersama Dr Subramaniam serta pemimpin MIC lain, termasuk naib presiden Datuk M. Saravanan dan Datuk SK Devamany, setiausaha agung A. Sakthivel, bendahari umum Datuk Jaspal Singh, Ketua Penerangan Datuk VS Mogan, ketua Wanita Datin Paduka Komala Krishnamoorthy, ketua Pemuda T. Mohan, ketua Puteri Usha Nandhini dan Ketua Putera P. Kamalanathan.

Palanivel berkata kedua-dua jawatan tertinggi - presiden dan timbalan presiden - tidak akan menghadapi "pencabar yang kuat" dan membayangkan bahawa tidak akan ada pertandingan bagi kedua-dua jawatan.

"Saya percaya bahawa tidak ada pencabar yang kuat untuk presiden dan timbalan jawatan presiden," katanya.

Pencalonan bagi pilihan raya presiden MIC dijadualkan pada 1 September, manakala pengundian akan diadakan pada 22 September, jika ada pertandingan.

Pilihan raya untuk jawatan yang lain - akan diadakan pada bulan November.

Pemimpin untuk jawatan-jawatan ini akan dipilih oleh 1,500 perwakilan bahagian.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak boleh mendedahkan bila perbincangan itu diadakan kerana perbincangan itu bersifat amat peribadi.

Pada Rabu, Malay Mail online melaporkan Najib mengadakan pertemuan dengan Palanivel, Subramaniam, Saravanan dan Devamany di kediamannya di Putrajaya pada Ahad.

Najib dikatakan menasihatkan mereka supaya menumpukan kepada usaha memperkukuhkan parti dan mengelakkan pertandingan yang boleh membawa kepada "perang terbuka" dalam parti.

"Tetapi di peringkat naib presiden dan CWC (jawatankuasa kerja pusat), mungkin akan ada pertandingan," kata Palanivel.

Pemilihan presiden MIC akan diadakan pada 22 Sept sekiranya ada pertandingan bagi jawatan itu pada pencalonan 1 Sept. Presiden MIC akan dipilih oleh 4,200 pengerusi cawangan di seluruh negara.

Timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC akan dipilih oleh 1,500 perwakilan parti.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan berkata pucuk pimpinan parti telah mengenepikan kepentingan peribadi demi kebajikan parti dan komuniti. "Hari ini, kami telah menunjukkan yang kami semua bersatu. Saya berharap ia menghantar mesej jelas bahawa ini sebuah parti yang amat kukuh dan bersatu yang akan mendapatkan semula sokongan masyarakat India kepada parti.

"Itulah hasil yang saya harapkan daripada keputusan ini dan saya berharap selepas ini, semua anggota parti akan mengenepikan semua perbezaan dan bersama-sama bergerak untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan masyarakat India memberikan sokongan padu kepada Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Samy Vellu pula berkata beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas keprihatinan perdana menteri yang mahu melihat MIC kekal bersatu. "Pertamanya, saya tidak mahu campur tangan sebab saya orang luar. Saya tidak patut campur tangan.

"Namun, sebagai kawan, kami saling berbincang antara satu sama lain dan saya bersyukur dan berterima kasih kepada perdana menteri atas keprihatinan beliau yang mahu melihat MIC kekal utuh," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain