suria

Palanivel Yakin Menang Tanpa Bertanding Jawatan Presiden

G.Palanivel
G.Palanivel
G.Palanivel

KUALA LUMPUR: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata, beliau yakin dapat mengekalkan jawatan presiden dalam pilihan raya presiden parti 1 September ini.

Katanya, beliau tidak mempunyai pencabar yang kuat untuk jawatan berkenaan.

"Saya jangka tiada perebutan bagi jawatan presiden kali ini dan yakin akan menang tanpa bertanding," katanya pada majlis pelancaran Forum Perlombongan 2013 di sini, Selasa.

Palanivel berkata timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam tidak akan bertanding menentang beliau untuk jawatan presiden, mematahkan semua spekulasi bahawa beliau akan dicabar untuk jawatan tersebut.

Beliau berkata, hanya jawatan Naib Presiden dan jawatankuasa kerja pusat yang akan dipertandingkan.

Sementara itu, seorang pegawai rasmi yang boleh dipercayai berkata, kata sepakat telah dicapai selepas Palanivel, Timbalan Presiden Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Naib Presiden Datuk M. Saravanan dan Datuk SK Devamany mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lewat hari Ahad.

"Perdana Menteri menasihatkan keempat-empat mereka bahawa adalah lebih baik mengelakkan persaingan untuk mengelakkan perpecahan dan menumpukan perhatian kepada pengukuhan parti.

"Keempat-empat pemimpin MIC telah mengadakan mesyuarat berasingan di sebuah hotel dan membuat keputusan untuk mengikut nasihat Perdana Menteri. Mereka bersetuju untuk 'tiada pertandingan' bagi jawatan presiden demi perpaduan," kata pegawai berkenaan.

Beliau berkata, Dr Subramaniam juga telah bercakap mengenai perjanjian itu pada majlis makan malam tertutup dengan penyokong beliau di Putrajaya lewat Isnin.

Pengumuman rasmi dijangka akan dibuat pada hari Khamis.

Kompromi ini akan membuka jalan kepada Palanivel, yang mengambil alih jawatan presiden pada Disember 2010, untuk dipilih sebagai presiden pada 1 September jika tidak ada pemimpin lain yang bertanding.

Artikel Lain