suria

Penumpang Panik Punca Bot Karam - Mangsa

KOTA TINGGI: Seorang mangsa yang selamat menceritakan bagaimana penumpang bot pancung yang turut dinaikinya menjadi panik setelah bot dipukul ombak, sehinga menyebabkan bot itu karam.

"Kami panik lalu berkumpul di bahagian tepi sebelah bot menyebabkannya tidak seimbang dan terbalik. Bila sudah jatuh ke laut, saya dapat dengar orang dan kanak-kanak menjerit dalam gelap," kata Edey Muliadi, 26, ketika ditemui di Pengkalan Daerah Maritim Tanjung Sedili di sini, Sabtu.

Pengendali jengkaut di Puchong, Selangor ini berkata sejurus selepas itu, cuaca mulai hujan dan mereka cuba berpaut pada bot yang sudah terbalik itu, namun ia karam selepas beberapa minit kerana tidak dapat menampung berat mereka.

Dia berkata dia bersama tiga lagi mangsa yang selamat kemudiannya berenang dan berpaut pada dua bekas minyak petrol dari bot itu yang terapung.

Dalam kejadian pukul 10 malam itu, sebuh bot pancung yang dipercayai membawa 44 warga Indonesia untuk pulang menyambut Aidilfitri di Batam, karam antara perairan Sedili dan Penawar di sini akibat dipukul ombak besar.

Mereka sebelum itu dipercayai berlepas dari Tanjung Siang.

Meskipun melecur pada dada, perut dan tangan kerana terkena tumpahan minyak petrol panas bot, Edey berkata dia tetap berpaut pada bekas petrol itu sebelum ditemui nelayan tempatan 15 jam kemudian.

"Sesekali semasa terapung itu, saya alami luka dan sakit digigit ikan-ikan kecil. Tetapi demi keluarga di Surabaya, saya bertahan untuk terus hidup," katanya.

Mohamad Saiful Bahari Nur, 34, berkata dia membayar tambang perjalanan sebanyak RM1,300 untuk pulang ke kampungnya di Lombok menerusi Batam.

"Kami berjalan di dalam gelap dan air yang sejuk selama 15 minit dari pantai untuk menuju ke bot yang menunggu di laut," katanya yang mendapat tahu mengenai perkhidmatan bot itu daripada seorang kawannya.

Dia yang bekerja sebagai pembantu di sebuah ladang di Taiping, Perak berkata inilah kali pertama dalam masa 13 tahun, dia balik ke kampung untuk menyambut Aidilfitri selepas berjanji dengan keluarganya untuk pulang.

"Saya hanya mahu jumpa ibu saya yang menjaga anak-anak saya selepas isteri saya meninggal dunia dua tahun lalu," katanya.

Dua lagi mangsa yang selamat ialah Mustafa Ali, 31, dan Tajul Abdullah, 34.

Operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan saki baki mangsa yang masih hilang diteruskan hari ini melibat dua buah kapal, empat buah bot laju dan dua unit udara melibatkan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

-BERNAMA

Artikel Lain