suria

Anggota Polis Lepas Tembakan Cuba Disamun

BENTONG: Seorang anggota polis melepaskan tembakan setelah beliau dan anak perempuannya cuba disamun dua lelaki bersenjata parang di simpang Lurah Bilut di sini petang Khamis.

Dalam kejadian 4.10 petang itu, kereta yang dinaiki bersama anak perempuannya berusia 17 tahun dihalang dua suspek terbabit.

Anggota yang bertugas di Balai Polis Lurah Bilut itu, Kpl Awang Man Jaya, 40-an, sedang memandu kereta Proton Iswara dari Bandar Bentong untuk pulang ke rumahnya di Berek Polis Lurah Bilut.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Mohamad Mansor Mohd Nor, tiba di simpang Lurah Bilut, Mempaga, kereta yang dipandu anggota polis itu secara tiba-tiba dihalang sebuah kereta Mercedez Benz.

"Dua lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang kemudiannya bertindak mengacu parang ke arah anak mangsa, namun mangsa bertindak melepaskan tembakan pistolnya ke arah suspek," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Tembakan itu mengenai bahagian badan salah seorang suspek. Kedua-dua suspek kemudiannya bertindak melarikan diri dengan kereta Mercedez Benz berwarna hitam itu.

Mohamad Mansor berkata kejadian itu dipercayai bermotifkan samun.

"Anggota polis terbabit dan anak perempuan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Beliau berkata pihak polis melancarkan gerakan bagi mengesan kedua-dua penjenayah terbabit.

"Orang ramai atau pihak klinik dan hospital diminta menghubungi pihak polis sekiranya terdapat individu yang cuba mendapatkan rawatan akibat cedera ditembak," katanya.

Mohamad Mansor berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain