suria

Dua Lelaki Menyamar Anggota Polis Ditahan

GEORGE TOWN: Dua lelaki ditangkap selepas mereka menyamar sebagai anggota polis sebelum menyamun seorang warga asing di Lorong Kulit di sini malam Isnin.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata, dalam kejadian 9 malam itu, suspek berusia 23 dan 31 tahun terbabit pergi ke rumah mangsa dan memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

"Suspek kemudian menyelongkar beg galas warga Indonesia itu dan mengambil wang berjumlah RM163 milik mangsa. Bagaimanapun mereka menyerahkan kembali RM113 selepas mangsa merayu berkali-kali," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

Menurutnya, beberapa penduduk yang menyaksikan insiden itu bertindak menangkap suspek dan menyerahkan mereka kepada polis.

Pemeriksaan ke atas suspek menemukan kad keanggotaan tetap Pertubuhan Skuad Relawan Cegah Jenayah Malaysia (Skuad Rejam), kad pelantikan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan lapan pelekat Skuad Rejam, katanya.

Gan berkata, siasatan awal juga mendapati seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan polis masih menyiasat status keanggotaan suspek dalam Skuad Rejam. - BERNAMA

Artikel Lain