suria

Bekas Calon PKR Rancang Saman Hadi Isu Pil Kuda

BESUT: Bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin serta dua yang lain akan memfailkan saman fitnah terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana didakwa memfitnah.

Menurut Mohd Shamsul, tindakan saman itu akan dibuat berikutan kenyataan Abdul Hadi ketika berceramah pada kempen Pilihan Raya Umum ke-13 lalu yang mendakwa calon PKR terlibat dalam aktiviti penjualan pil kuda.

"Saya menderita akibat fitnah ini. Saya sentiasa mengalami masalah kemurungan, kurang keyakinan diri dan yang paling menjatuhkan maruah saya ialah masyarakat menganggap saya adalah pengedar pil kuda," katanya seperti yang terkandung dalam laporan polis berhubung perkara itu di sini, Isnin.

Mohd Shamsul tampil membuat laporan polis dan kenyataan media di sini, dua hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil DUN Kuala Besut pada Rabu ini.

Ditanya mengapa hanya tampil membuat kenyataan ketika kempen pilihan raya kecil Kuala Besut diadakan, Mohd Shamsul berkata: "Sebab Abdul Hadi buat kenyataan masa dah dekat pilihanraya, jadi saya rasa patutlah jika saya buat kenyataan ini pada masa sebelum pilihan raya kecil ini.

"Lagipun di sini ramai wartawan, jadi saya rasa kenyataan saya akan mendapat liputan meluas."

Jelas Mohd Shamsul, dua lagi bekas calon PKR iaitu Mohamed Abdul Ghani Ibrahim (Kota Putera) dan Ahmad Nazri Mohd Yusof (Seberang Takir) turut akan memfailkan saman fitnah terhadap Abdul hadi.

Abdul Hadi dikatakan berkata demikian bagi menjelaskan mengenai tindakan PAS meletakkan calon menentang calon PKR di tujuh kawasan seluruh negara termasuk membabitkan tiga kerusi di Terengganu itu.

Pada 22 April lalu, ketika berceramah di Kampung Tebakang, Mukim Alor Limbat, Marang, Abdul Hadi dilaporkan berkata, mendakwa pihaknya mendapat maklumat ada calon tertentu membuat kerja 'haram' dan mempunyai 'fahaman' yang bertentangan dengan pakatan pembangkang.

"Ada calon-calon yang kita khuatif, berdasarkan maklumat adalah tukang jual pil kuda. Nak jadi calon macam mana? Malah ada calon yang menjulang gambar Lenin, Stalin dan Karl Marx letak di markas. Orang PAS tidak boleh kerja dengan calon macam ini," kata Abdul Hadi.

Artikel Lain