suria

Bakal Jemaah Haji Malaysia Diminta Patuhi Garis Panduan Kesihatan

MADINAH: Bakal jemaah haji Malaysia terutama warga emas diminta mematuhi garis panduan kesihatan dikeluarkan kerajaan Arab Saudi bagi mengelak penyebaran Sindrom Pernafasan Asia Barat-Virus Korona (MERS-CoV) ketika mereka menunaikan ibadah haji musim ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Datuk Ismee Ismail berkata Tabung Haji sentiasa memantau dan menapis bakal jemaah bagi memastikan mereka benar-benar sihat untuk mengerjakan ibadat haji.

Katanya semua jemaah haji Malaysia diwajibkan melalui proses pemeriksaan kesihatan sebagaimana yang ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.

"Musim haji ni manusia berjuta-juta...dari pelbagai negara. Tak tahu apa (penyakit) yang mereka bawa. Cuaca mungkin agak panas, bila dah ramai manusia jadi lebih panas. Petugas Tabung Haji sentiasa bersama jemaaah untuk pastikan kesihatan mereka," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya walaupun garis panduan telah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi untuk semua negara, tetapi pelaksanaannya adalah bergantung kepada negara-negara itu sendiri dan Tabung Haji sentiasa memastikan yang terbaik untuk para jemaah.

"Ia hanya garis panduan am. Sebagai tuan rumah, adalah baik untuk adakan langkah berjaga-jaga yang lebih ketat...terutama dengan adanya MERS," katanya.

Bagaimanapun, Ismee meminta jemaah Malaysia tidak perlu terlalu bimbang dengan keadaan ini kerana kesihatan mereka akan sentiasa disaring oleh petugas Tabung Haji.

Beliau turut menasihatkan bakal jemaah haji membuat persiapan fizikal memandangkan ibadah haji merupakan satu ibadat yang melibatkan aktiviti fizikal selain minum lebih banyak air kosong dan zam zam bila berada di tanah suci.

MERS telah meragut 33 nyawa manakala 55 lagi jatuh sakit dijangkiti virus itu di Arab Saudi sejak September tahun lepas. Antara gejala jangkitan MERS ialah demam panas, kesukaran bernafas, cirit birit dan muntah-muntah.

Bagaimanapun, belum ada lagi kes tersebut dilaporkan di Malaysia. - BERNAMA

Artikel Lain