suria

Universiti Swasta Nyata Kebimbangan Pelaksanaan Titas

PETALING JAYA: Pengendali universiti swasta menyuarakan kebimbangan mereka mengenai langkah untuk menjadikan kursus Pengajian Tamadun Islam dan Tamadun Asia (Titas) sebagai mata pelajaran wajib di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Presiden Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta Prof Madya Elajsolan Mohan berkata kurusus itu seharusnya dijadikan kursus elektif bagi pelajar-pelajar yang berminat untuk belajar lebih lanjut mengenai topik ini.

"Dalam pendidikan tinggi, pelajar akan lebih tertumpu kepada mata pelajaran yang berkaitan dengan kerjaya masa depan mereka. Dipaksa untuk belajar subjek lain akan menambah lebih banyak tekanan kepada mereka," kata Elajsolan ketika dihubungi, Jumaat.

Beliau berkata, pelajar juga akan dibebani dengan kos tambahan yang perlu ditanggung untuk Titas kerana yuran di IPTS perlu dibayar mengikut jumlah jam kredit yang diambil.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan di Parlimen pada Khamis bahawa Titas akan diwajibkan untuk pengambilan baru pelajar di IPTS tempatan mulai 1 September.

Muhyiddin berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha untuk menyeragamkan keperluan antara universiti swasta dan awam, dengan mengambil kira kajian keperluan pelajar-pelajar tempatan dan antarabangsa.

Titas adalah salah satu daripada tiga mata pelajaran yang perlu diambil oleh setiap pelajar universiti swasta tempatan.

Subjek lain ialah Hubungan Etnik dan Pengajian Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pelajaran Prof Dr Morshidi Sirat berkata Titas bukan bermaksud belajar agama.

"Ia adalah mengenai perbandingan dan persamaan tamadun Asia serta nilai-nilai yang baik," kata Prof Morshidi.

Pengarah Eksekutif Kanan Sunway Education Group Elizabeth Lee berkata kurikulum subjek terpaksa dikaji semula untuk memastikan ia lebih mempunyai objektif jika dipercayai sesuai untuk semua rakyat Malaysia.

"Saya bimbang tentang tiga mata pelajaran wajib bagi pelajar Malaysia yang akan diajar dalam Bahasa Malaysia.

"IPTS kami mengambil ramai pelajar Malaysia yang tidak pernah bersekolah mengikut sistem pendidikan negara," kata Lee.

Naib Canselor Universiti Taylor Profesor Datuk Dr Hassan Said menyambut baik langkah untuk memperkenalkan Titas di IPTS, sambil berkata ia akan membawa kepada pengharmonian pengajian tinggi di negara ini.

Sementara itu, biro pendidikan MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berkata menjadikan Titas subjek wajib di IPTS tidak akan terus meningkatkan kualiti pendidikan tinggi di negara ini.

"Jika subjek Bahasa Inggeris, maka kita dapat melihat bagaimana pelajar boleh mendapat manfaat daripadanya.

"Tetapi jika pelajar berminat untuk Titas, mereka harus dibenarkan untuk mengambilnya. Walau bagaimanapun, mewajibkan tidak akan menggalakkan mereka untuk cenderung kepada perkara ini," kata Dr Wee.

Artikel Lain