suria

Bekas Ketua Menteri Melaka Meninggal Dunia

JASIN: Bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar Ithnin, 74, meninggal dunia di kediamannya di Merlimau di sini akibat komplikasi kencing manis dan buah pinggang kira-kira pukul 6 petang Jumaat.

Anak saudara Allahyarham yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Merlimau Roslan Ahmad berkata Allahyarham dimasukkan ke hospital kira-kira sebulan lepas kerana komplikasi penyakit itu.

"Allahyarham telah dibawa semula ke rumahnya dalam tiga hari lepas dan menghembuskan nafas terakhir dengan keluarga di sisinya petang tadi," katanya ketika dihubungi Bernama malam Jumaat.

Roslan yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Masyarakat berkata, Allahyarham mula menghidap penyakit itu kira-kira 10 tahun lepas.

"Allahyarham walaupun hanya berkhidmat sebagai Ketua Menteri Melaka selama dua tahun telah menyumbang bakti yang besar kepada negeri ini dan menjadi teladan kepada saya untuk ikuti," katanya.

Allahyarham dijangka dikebumikan di Makam Pahlawan Masjid Al-Azim, sebelum Zohor pada Sabtu.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Seri Khalijah Mohd Jiddi dan enam orang anak iaitu Zalina, Roslaini, Marina, Zuraini dan Khaidirah serta seorang anak lelaki Mohd Aidi Iskandar.

Allahyarham merupakan Ketua Menteri Melaka Kelapan dan mula menjawat jawatan itu pada 23 Mei 1997 sehingga 2 Disember 1999 sebelum digantikan Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Dilahirkan pada 14 September 1939, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Merlimau di sini sebelum melanjutkan pengajian menengah di Sekolah Tinggi Melaka.

Allahyarham mendapat latihan sebagai guru di Maktab Perguruan Kota, Kota Bharu, Kelantan dan Maktab Perguruan Bahasa, Bukit Senyum, Johor Bahru, Johor.

Beliau melanjutkan pengajian peringkat diploma di Language Teachers' Training College, Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan peringkat ijazah di Brighton Polytechnic Language Centre, University of Brighton, United Kingdom.

Pernah bertugas sebagai guru di beberapa sekolah di Melaka antaranya Sekolah Menengah Yok Bin, Ayer Leleh dan kali terakhir memegang jawatan sebagai Penolong Ketua Pengarah, Unit Pendaftaran Sekolah, Jabatan Pendidikan Melaka sebelum meletak jawatan untuk bertanding dalam pilihan raya umum pada 1986.

Mula bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-7 pada Ogos 1986, Allahyarham memenangi kerusi dewan undangan negeri Sungai Rambai dengan majoriti 2,439 menewaskan calon PAS, Rahimi Bani.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-10, November 1999 beliau memenangi kerusi parlimen Jasin dengan majoriti undi 10,685 menewaskan Mujahid Yusof daripada PAS.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Parlimen, Kementerian Dalam Negeri bermula Disember 1999 hingga Mac 2004. - BERNAMA

Artikel Lain