suria

Ahli Perniagaan Didakwa Bunuh Anak Teman Wanita

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini atas pertuduhan membunuh anak teman wanitanya, berusia dua tahun, bulan lepas.

Mohd Hisham Mat Yunus, 42, didakwa membunuh Muhamad Umar Haiqal Mohd Hazlee di Future World Avenues Resort, Lebuh Raya Rawang Batu 15, Taman Rimba Komanwel, Gombak dekat sini antara 3.30 pagi dan 4.30 pagi, pada 2 Jun lepas.

Mohd Hisham didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang berpakaian lokap berwarna oren hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurliana Ismail, namun tiada pengakuan direkodkan. Mahkamah menetapkan 9 Sept untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Zulia Balqish Syed Agil manakala tertuduh diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud dan Farhan Read.

Selesai prosiding, Nik Mohamed Ikhwan memberitahu media bahawa teman wanita tertuduh yang direman bagi membantu siasatan kes itu sebelum ini, dilepaskan dengan syarat Isnin lepas.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun didakwa dipukul sehingga mati oleh teman lelaki ibunya dan mayat mangsa ditanam di kawasan hutan di Gunung Berinchang, Cameron Highlands. - BERNAMA

Artikel Lain