suria

2,000 Penuntut Kelantan Di Mesir Selamat

KOTA BARU: Kira-kira 2,000 penuntut dari Kelantan yang menyambung pengajian di Mesir berada dalam keadaan selamat serta mempunyai bekalan makanan mencukupi ketika negara itu kini bergolak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata penuntut tidak digalakkan untuk keluar dari kediaman masing-masing terutama ke kawasan "panas" bagi mengelak kejadian buruk.

"Bagaimanapun, keputusan untuk menghantar mereka pulang ke tanah air bergantung kepada keadaan di Mesir, (dan) pada masa sama menunggu arahan Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di negara itu.

"Kita juga menasihatkan mereka untuk tidak keluar (dari kediaman) jika tiada urusan penting. Mereka juga mempunyai bekalan makanan mencukupi jika berlaku apa-apa (jika keadaan di Mesir bertambah serius)," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Darulnaim di sini, Rabu.

Mohamed Fadzli berkata kebanyakan penuntut dari negeri ini melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar di Kaherah; Zagaziq, Iskandariah; dan beberapa wilayah lain.

Beliau turut menasihatkan penuntut supaya tidak terbabit dengan mana-mana kumpulan yang bertelagah di negara itu.

Akhbar hari ini melaporkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata dua pesawat C130 Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersedia pada bila-bila masa untuk operasi membawa keluar penuntut Malaysia jika keadaan memerlukan.

Situasi politik di Mesir ketika ini tegang ekoran penggulingan Presiden Mohammed Morsi oleh pihak tentera negara itu. - BERNAMA

Artikel Lain