suria

AirAsia X Diniagakan Di Pasaran Saham Malaysia Secara Rasmi Rabu

KUALA LUMPUR: Saham AirAsia X meningkat 1.60 peratus sejurus selepas ia dibuka di pasaran awam pada Rabu.

Saham syarikat penerbangan murah itu diniagakan pada paras RM1.27 selepas dilancarkan pagi ini di Bursa Malaysia pada harga RM1.25.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Azran Osman-Rani menyifatkannya sebagai satu perkembangan yang baik dan berada di landasan yang betul.

Beliau juga menambah yang dana terkumpul hasil daripada tawaran awam saham AirAsia X akan digunakan untuk menambah jumlah pesawat dalam tempoh terdekat ini.

Dan sebahagian besar daripada peruntukkan pembelian pesawat itu adalah untuk menambah rangkaian Airbus yang kini berjumlah 10 pesawat.

AirAsia X dijangka menerima pesanan 23 buah pesawat Airbus A330-300 dalam tempoh empat tahun dari sekarang dengan opsyen sebanyak 10 buah dari model A350-900s untuk memenuhi permintaan di rantau Asia-Pasifik.

Syarikat penerbangan ini yang dilancarkan pada tahun 2007, mencatatkan untung bersih sebanyak RM33.8 juta pada kewangan berakhir Disember 2012.

AirAsia X juga bercadang untuk menambahkan lagi jadual penerbangan pada destinasi sedia ada termasuk menerokai laluan baru di Australia, Jepun dan China.

Kejayaan AirAsia X menembusi pasaran saham dilihat akan mendorong syarikat-syarikat penerbangan serantau yang lain seperti Lion Air dari Indonesia mengambil pendekatan yang sama.

Cuma kini cabaran paling besar AirAsia X ialah bagaimanakah ia akan menangani soal kos bahan api yang semakin meningkat dan menyumbang sehingga 49 peratus daripada kos operasi.

Artikel Lain