suria

Dua Lelaki Cedera Selepas Kereta Terbabas Dikejar Polis

JOHOR BARU: Dua lelaki cedera selepas kereta yang mereka naiki terbabas apabila cuba melarikan diri dari kereta peronda polis dalam satu insiden di kawasan Skudai Kiri di sini kira-kira 4.50 petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara, ACP Ruslan Hassan berkata kedua-dua mereka yang berusia lewat 30 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan.

Kereta yang mereka naiki itu terbabas dan melanggar bahu jalan selepas dikejar polis selama 15 minit.

Ruslan berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Proton Satria yang dinaiki suspek dilaporkan hilang di Majidee pada 2011 dan mereka dipercayai terbabit dalam kes curi kereta.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379(A)(1) Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta di mana sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain