suria

Kerajaan Pertimbang Aspek Ketenteraan Bina Lapangan Terbang Baharu Lahad Datu

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan aspek keselamatan dan ketenteraan bagi pembinaan Lapangan Terbang Lahad Datu yang baharu berikutan insiden pencerobohan di daerah itu, Mac lalu, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Malah, katanya kajian kebolehlaksanaan yang dijalankan tahun lepas mendapati terdapat keperluan untuk mewujudkan sebuah lapangan terbang baharu di Lahad Datu untuk menggantikan lapangan terbang sedia ada.

"Pihak juruperunding telah membentangkan laporan akhir kajian tersebut kepada kementerian pada 22 Oktober 2012.

"Intipati daripada kajian ini adalah terdapat keperluan mewujudkan sebuah lapangan terbang baharu di Lahad Datu bagi menggantikan lapangan terbang sedia ada," katanya ketika menjawab soalan Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (BN-Silam) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Datu Nasrun ingin tahu mengenai status kajian kebolehlaksanaan yang diarahkan kerajaan Pusat pada tahun 2011 berhubung pembinaan lapangan terbang baharu di Lahad Datu, dengan perbelanjaan RM10 juta.

Aziz menjelaskan hasil kajian itu juga mendapati keperluan untuk membina sebuah lapangan terbang baharu dengan kos RM3.03 juta yang akan dibina di kawasan seluas 320 hektar di Silabukan.

"Ia sebagai inisiatif kerajaan untuk mempertingkatkan sosioekonomi penduduk Lahad Datu dan wilayah berhampiran," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain