suria

Tubuh Badan Pemerhati Bebas Kurangkan Risiko Projek Terbengkalai - MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (PKR-Pelabuhan Klang) bercadang mewujudkan badan pemerhati bebas untuk menilai rekod kerja kontraktor bagi mengurangkan risiko projek terbengkalai.

“Cadangan (wujudkan badan pemerhati bebas) boleh dilaksanakan. Sekarang ini kita tidak ada rekod penilaian kontraktor, dengan adanya badan ini kita boleh semak rekod mereka sebelum pemberian tender secara terbuka.

“Kita boleh pantau projek bagi mengurangkan risiko projek terbengkalai. Bagi projek mega seperti Datum Jelatek kita memang ada penyiapan jaminan daripada pihak kontraktor,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) yang mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan badan pemerhati bebas bagi mengelakkan projek terbengkalai.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata pemberian tender terbuka juga dapat menjimatkan wang berbanding pemberian tender yang dijalankan secara rundingan.

“Sejak 2011, kita sudah mula melaksanakan tender terbuka. Untuk rekod, sebanyak 162 bilangan tender terbuka dilaksanakan dari 2011 hingga 2013.

“Kita telah pantau sejak 2008 projek terbengkalai ialah 1 daripada 18 projek yang diberikan secara tender terbuka,” katanya.

Beliau turut mengakui pemberian tender terbuka mempunyai risiko projek terbengkalai yang lebih tinggi berbanding pemberian tender secara rundingan.

“Kita akui risiko projek terbengkalai dalam tender terbuka lebih tinggi daripada tender secara rundingan, namun harus diakui pemberian tender secara rundingan lebih mahal daripada tender terbuka,” katanya.

Artikel Lain