suria

Penebat Kilat Runtuh: Keluarga Akan Adakan Upacara Sembahyang Untuk Roh Mendiang

GEORGE TOWN: Anggota keluarga Lim Chin Aik, 44, penjual nasi yang dipercayai tertimbus di kawasan runtuhan penebat kilat di Jalan Macalister di sini akan mengadakan upacara sembahyang di tempat kejadian untuk roh mendiang sebaik sahaja sijil kematiannya dikeluarkan.

Adik mangsa, Lim Khun Ling, 43, berkata upacara sembahyang itu akan diadakan apabila kerja-kerja menstabilkan tanah di kawasan itu selesai.

"Kami sekeluarga menerima keputusan ini walaupun dengan berat hati, semua pihak telah menjalankan tugas sehabis baik. Kami sekeluarga sangat menghargai jasa semua pihak yang telah bertungkus lumus mengesan dan mencari abang saya," katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Pakar Perunding Patologi Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) Datuk Dr Bhupinder Singh hari ini menjalankan kerja meneliti rangka kereta milik mangsa yang ditemui di bawah runtuhan itu bagi membolehkan sijil kematian dikeluarkan.

Kerja forensik itu dilakukan pukul 12 tengah hari tadi di kawasan kejadian dan dibantu Pakar Perunding Forensik HPP Datuk Dr Zahari Noor.

Pada Ahad semua anggota keluarga mangsa yang berada di tempat kejadian mengadakan upacara sembahyang bagi memudahkan usaha mencari dan menyelamat.

Dalam kejadian petang Khamis lepas, seorang lelaki maut selepas kenderaannya dihempap struktur penebat kilat di atas Menara Umno itu yang jatuh akibat ribut kencang.

Sehari selepas itu, seorang wanita Lee Chai Song membuat laporan akan kehilangan Chin Aik dan khuatir suaminya itu turut terbabit dalam insiden tersebut.

Pada Sabtu lepas, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi mengesahkan nombor casis kereta yang ditemui terbenam di kawasan runtuhan penebat sepadan dengan kereta milik Chin Aik.

Sementara itu, kerja mencari dan menyelamat mangsa dihentikan sepenuhnya pada 8 pagi Isnin dan keputusan itu dibuat kerana bimbang kerja menggali lubang di kawasan itu akan menjejaskan struktur bangunan warisan di kawasan berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain