Dr M Sokong Dua Jawatan Tertinggi Umno Tidak Dipertandingkan - Semasa | mStar

Dr M Sokong Dua Jawatan Tertinggi Umno Tidak Dipertandingkan

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong penuh cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan pada pemilihan parti November ini.

Katanya beliau bimbang pertandingan bagi dua jawatan tertinggi yang masing-masing disandang Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu akan menyebabkan perpecahan dalam Umno dan juga orang Melayu.

"Mengikut amalan demokrasi, kita patut ada pertandingan tetapi orang Malaysia tidak begitu faham amalan demokrasi sebenar. Kalau kalah, mereka akan tarik diri (keluar parti) dan tubuhkan parti lain dan ini menyebabkan orang Melayu dan Umno berpecah lagi.

"Sehubungan itu, saya sokong kalau ada pertandingan tetapi bukan untuk dua jawatan di puncak sekali iaitu presiden dan timbalan presiden.

"Saya biasa bertanding dulu (jawatan presiden Umno) dan saya menang dengan 43 undi saja tetapi pihak yang kalah telah bawa (mendakwa) saya ke mahkamah dan menubuhkan parti lain... Orang kita (Melayu) berpecah kerana pertandingan," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Dr Mahathir sebelum itu melancarkan buku 'The Prisoners Diaries' yang disunting oleh Puan Sri Norma Hashim daripada Viva Palestina Malaysia.

Buku setebal 125 muka surat itu dihasilkan Viva Palestina Malaysia dengan kerjasama Centre for Political & Development Studies di Gaza, menceritakan pengalaman banduan Palestin di penjara Israel.

Buku itu dijual dengan harga RM20 dan semua keuntungan daripada jualan akan diguna untuk membiayai projek kewartawanan dalam kalangan rakyat di Gaza.

Sementara itu, Dr Mahathir melahirkan kekecewaan apabila kuasa-kuasa besar yang lantang menyuarakan keadilan dan pemerintahan mengikut kedaulatan undang-undang "menghalalkan" tindakan Israel memenjara rakyat Palestin untuk ditukar sebagai tebusan jika askar Yahudi ditahan di Palestin.

"Israel merupakan satu-satu negara di dunia yang menahan rakyat musuh untuk pertukaran tebusan

"Lima ratus banduan Palestin yang ditahan akan digunakan sebagai pertukaran untuk seorang askar yang ditahan di Palestin," katanya.

Dr Mahathir juga mengecam tindakan Israel yang sewenang-wenang melakukan apa sahaja termasuk melancarkan serangan di perairan antarabangsa dengan hanya alasan "bertindak atas kepentingan keselamatan".

"Semuanya pasal keselamatan Israel, seolah-olah keselamatan orang lain tak penting... Inilah ketidakadilan yang berlaku tetapi ia dihalalkan negara-negara yang lantang menyuarakan keadilan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

WKB 2030 fokus 9 kumpulan terpinggir, ketahui siapa mereka

PENGURUSAN polariti dalam WKB 2030 mengenal pasti sembilan kumpulan sasaran sebagai golongan terpinggir.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

Artikel Lain