suria

Belia Diminta Sahut Seruan PM, Gerakkan Aktiviti Sukarelawan

SHAH ALAM: Golongan belia diminta menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi program '1Malaysia For Youth' (1M4U) dan 'Dana Sukarelawan 1Malaysia' (DRE1M) dengan menggerakkan usaha kesukarelawan membantu masyarakat tempatan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata melalui pendekatan itu, belia dapat mengenal pasti permasalahan mereka selain turut sama membantu menyelesaikannya.

"Belia pada hari ini seharusnya mengambil peluang melibatkan diri dengan komuniti dan aktiviti sukarelawan.

"Atas sebab memahami aspirasi belia pada masa ini juga, Perdana Menteri menubuhkan 1M4U dan DRE1M sebagai platform untuk belia melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan yang bersifat transformatif kepada masyarakat," katanya semasa berucap merasmikan program Siri Syarahan Tahunan KSN bertajuk 'Belia Hari Ini, Pemimpin Hari Esok' di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Naib Canselor UiTM Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar.

Ali berkata langkah itu juga mampu memastikan golongan belia dapat meneruskan kesinambungan dan menggalas tanggungjawab pemimpin hari ini yang turut turun padang membantu masyarakat setempat.

"Satu program kesukarelawan yang kreatif ialah program 'Telekung People' yang dijayakan warga Universiti Malaysia Pahang (UMP)...kumpulan ini telah membantu membersihkan telekung wakaf yang kotor dan menyumbang telekung bersih di kawasan tempat solat awam.

"Dengan kolaborasi 1M4U, 'Telekung People' telah meluaskan perkhidmatan mereka ke surau dan masjid di Kuantan, Mentakab dan Mersing," katanya.

Melalui pelaksanaan program seperti itu, katanya kerajaan juga yakin golongan belia mampu membantu kerajaan melaksanakan agenda transformasi negara dengan jayanya.

"Atas dasar itu, kerajaan baru-baru ini telah memperkenalkan program Felo Perdana bagi membuka peluang kepada anak muda yang cemerlang dan berbakat untuk mengurus tadbir negara," kata Ali. - BERNAMA

Artikel Lain