suria

Raja Muda Perlis Mahu Penjawat Awam Pelihara Integriti

KANGAR: Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggesa penjawat awam agar memelihara integriti dan menjauhi tiga penyakit iaitu rasuah, kebocoran maklumat dan salah guna kuasa ketika menjalankan tugas.

"Janganlah ada yang menjadi seperti 'gunting dalam lipatan' kepada negara dan negeri," titah baginda semasa merasmikan Seminar Transformasi Kecemerlangan Penjawat Awam, Zon Utara 2013 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh, Selasa.

Titah baginda penjawat awam hari ini berdepan dengan cabaran untuk mencari titik keseimbangan antara membangunkan kapasiti, ilmu pengetahuan, kemahiran dan kompetensi yang baharu dengan konsep atau amalan yang lama.

"Keberkesanan perkhidmatan awam bukan sahaja terletak kepada keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar tetapi turut bergantung kepada kepada keupayaan berkomunikasi dan menangani kesan dari dasar itu," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin turut mengingatkan bahawa transformasi ke arah kecemerlangan perlu meliputi pelbagai aspek bermula transformasi diri, minda, sikap dan perlakuan penjawat awam itu sendiri.

"Tanpa transformasi yang bermula dari dalam diri, agak sukar untuk melihat hasil yang positif kerana ia akan sentiasa menolak pembaharuan yang baik terhadap diri, organisasi mahupun negara," titah baginda.

Sebanyak 500 penjawat awam dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menyertai seminar sehari anjuran PTSS, Institut Tadbiran Awam Wilayah Utara (INTURA) dan Pejabat Setiausaa Kerajaan Negeri Perlis itu.

Seminar yang antara lain bertujuan meningkatkan kompetensi dan efisiensi dalam pentadbiran awam itu diadakan sempena sambutan ulang tahun keputeraan ke-70 Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Menteri Besar Perlis Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Azizan Hamid dan Pengarah PTSS Saifullah Musa.-BERNAMA

Artikel Lain