suria

Peguam Riduan Masmud Minta Semua Pihak Henti Buat Kenyataan

KOTA KINABALU: Peguam yang mewakili Riduan Masmud, pengurus restoran yang didakwa merogol seorang gadis bawah umur di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu baru-baru ini dan mendapat liputan meluas media, meminta semua pihak terbabit berhenti mengeluarkan kenyataan berbentuk spekulatif, tidak berasas dan berbaur fitnah terhadapnya.

Loretto S.Padua berkata Riduan mendapati situasi itu amat tidak adil kepadanya kerana dia 'telah dibicarakan oleh media dan didapati bersalah oleh pembaca' sebelum perbicaraannya di mahkamah bermula.

"Dia tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah, dan ini adalah prinsip jelas dalam sistem keadilan jenayah kita yang berhak dinikmati setiap tertuduh kes jenayah," kata Loretto dalam satu kenyataan selepas diarah berbuat demikian oleh anak guamnya, di sini Khamis.

Beliau berkata anak guamnya juga mendapati 'tindakan Peguam Negara yang membuat kenyataan terbuka serta mendedahkan beberapa bukti yang kini dikatakan masih dalam siasatan, amat menjejaskan kerana dia sudahpun didakwa di mahkamah".

"Paksaan seperti ini memberi tekanan yang amat hebat bukan sahaja kepada beliau malah anggota keluarganya yang diminta memberi keterangan lanjut. Sebarang pengumpulan bukti pada peringkat ini oleh pihak berkuasa, tidak boleh diterima," katanya.

Loretto berkata anak guamnya juga ingin menyatakan "beliau tidak pernah, pada sebarang masa sebelum kenyataan akhbar ini, membuat sebarang kenyataan kepada mana-mana anggota media berkaitan kesnya".

"Sehubungan itu, anak guam saya berhak mengambil tindakan undang-undang dalam perkara ini," katanya.

Riduan didakwa merogol mangsa, 12 tahun enam bulan, dalam sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan di Inanam pada kira-kira 10 pagi, 18 Februari lepas.

Perbicaraan kes itu ditetapkan dari 1 hingga 4 Julai ini. - BERNAMA

Artikel Lain