Zahid Yakin Polis Mampu Tangani Perhimpunan Di Petaling Jaya Secara Bijaksana - Semasa | mStar

Zahid Yakin Polis Mampu Tangani Perhimpunan Di Petaling Jaya Secara Bijaksana

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin polis mampu menangani serta mengawal perhimpunan yang ditunjangi pembangkang di Petaling Jaya pada Sabtu secara bijaksana dan berhemah.

Beliau berkata perhimpunan 'suara rakyat 505' itu ternyata sama sekali tidak memenuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012 apabila tiada sebarang notis pemberitahuan diserah kepada polis serta ia dilakukan di tempat terbuka.

"Saya melihat perhimpunan itu sebagai satu tindakan provokasi yang cuba dicetuskan bagi mencabar kewibawaan polis, jadi saya menyerahkan sepenuhnya kepada Ketua Polis Negara dengan segala peruntukan akta yang ada bagi menangani perhimpunan tersebut dengan cara yang terbaik," katanya dalam rancangan bual bicara Hello Malaysia kelolaan Bernama TV malam Jumaat.

Ahmad Zahid turut mengingatkan peserta perhimpunan agar tidak menimbulkan kekacauan serta provokasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Saya harap tidak berlaku sebarang provokasi sama ada daripada peserta perhimpunan mahupun pihak polis sendiri... jangan mencabar serta menghina pihak berkuasa, kita harus faham tugas masing-masing, jangan perlekehkan pihak polis," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menolak tanggapan tindakan polis dan agensi di bawah kementerian berkenaan menggambarkan ketegasan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri yang baharu.

Tanggapan itu timbul ekoran penahanan tiga aktivis pembangkang di bawah Akta Hasutan dan rampasan akhbar serta majalah pembangkang yang melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan oleh agensi di bawah kementerian berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata tindakan tegas pihaknya adalah bagi menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

"Saya menyerahkan kepada pihak profesional untuk melakukan tindakan itu berdasarkan peruntukan undang-undang yang harus dikuatkasakan oleh mereka sendiri dan tidak ada campur tangan daripada saya selaku Menteri Dalam Negeri," katanya. -- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

Ketahui 8 petunjuk bagi memantau manfaat WKB 2030 dikongsi rakyat

INDIKASI sosial sedang dibina bagi memastikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) memenuhi sasaran dan memberi manfaat kepada semua.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.