suria

Tiga Maut Dalam Nahas Berasingan Di Pahang

KUANTAN: Seorang warga emas antara tiga yang maut dalam kemalangan berasingan di Pahang pada Selasa.

Warga emas itu Ong Kim Tian, 77, terbunuh selepas keretanya terbabas ke dalam longkang di simpang tiga Jalan Air Putih 2 di sini.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata mangsa mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

"Pada kejadian 8.57 malam itu, mangsa yang berasal dari Taman Angkasa, Beserah memandu kereta Produa Kelisa dan keluar bersendirian," katanya di sini Rabu.

Dalam kejadian lain, seorang suri rumah, Toh Pat Low, 57, terbunuh selepas kereta yang dipandu suaminya merempuh sebuah lori di Km161 Lebuhraya Pantai Timur menghala ke Kuantan dekat Temerloh.

"Dalam kejadian 10.02 pagi itu, sebuah lori dari Petaling Jaya telah melanggar sebuah lagi lori yang membawa muatan besi dan menyebabkan lori berkenaan melintang jalan.

"Kenderaan yang dinaiki mangsa dengan suaminya yang datang dari arah sama telah merempuh bahagian belakang lori yang sedang melintang jalan itu.

"Mangsa mati ketika mendapat rawatan di Hospital Temerloh manakala suaminya yang berumur 60 tahun cedera parah dan kini dirawat di hospital berkenaan," kata Mohamed Fauzi.

Dalam satu lagi kejadian di Raub, seorang kakitangan swasta, Ng Mun Hing, 28, maut apabila motosikalnya bergesel dengan sebuah lori di Km353 Jalan Raub-Lipis.

"Mangsa meninggal ditempat kejadian selepas terjatuh di atas jalan dan digilis tayar belakang lori itu," katanya.

Semua kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalanraya (APJ) 1987, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain