suria

Negeri Pakatan Rakyat Tidak Terkecuali Ikuti Program Pelancongan - Nazri

PUTRAJAYA: Tiga negeri di bawah pakatan rakyat tidak akan dikecualikan daripada melaksanakan semua program Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, kata menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Beliau berkata Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang tetap akan dilibatkan dalam usaha kerajaan mencapai sasaran 28 juta pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Jadi saya telah membuat keputusan hari ini dan saya telah mengarahkan kementerian saya bahawa semua program dan mesyuarat kita akan melibatkan mereka, selari dengan seruan inklusif oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sebaik pengumuman keputusan pilihan raya.

"Mereka akan dilayan sama seperti mana-mana negeri lain. Apa yang saya pentingkan, apabila ia berkaitan pelancongan, kita mesti ketepikan politik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementerian di sini Rabu.

Ditanya mengenai kesan demonstrasi jalanan kepada usaha kerajaan untuk menarik kedatangan pelancong, Mohamed Nazri berkata kemasukan pelancong ke negara ini meningkat setiap tahun.

"Bermula daripada tahun 2008 sehingga 2012, saya rasa tiap-tiap tahun ada demonstrasi haram ini, tapi dia tidak pun menurunkan peningkatan dari segi kedatangan dan kunjungan pelancong ke negara kita.

"Jadi kalau saya bagi alasan sainstifik, berdasarkan kedatangan antarabangsa dan kunjungan pelancong, ia meningkat setiap tahun meskipun ada demonstrasi, saya berpendapat ia tidak akan memberi kesan terhadap sasaran kita," katanya.

Mengenai status terkini penolakan jawatan Timbalan Menteri oleh Datuk Joseph Salang, beliau menjelaskan masih tiada keputusan dibuat mengenainya pada mesyuarat Kabinet, Rabu.

Salang, yang juga Anggota Parlimen Julau, Sarawak, telah menolak pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan dalam barisan baharu Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Salang, yang juga Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam Kabinet lalu, mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei lepas dengan menewaskan calon Parti Pekerja Sarawak, Wong anak Judat dan Andy Wong Hong Yu dari PKR dengan majoriti 5,955 undi. - BERNAMA

Artikel Lain