suria

Kes LPK Saman KDSB Akan Dibicarakan Di Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA: Kes saman yang dikemukakan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) terhadap Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) berhubung kesahan perjanjian jual beli 1,000 ekar tanah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Ini berikutan keputusan panel hakim lima anggota yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria hari ini yang tidak membenarkan KDSB merayu kepada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak menyebelahinya.

Arifin, yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusof, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Hasan Lah, menolak permohonan KDSB untuk mendapatkan kebenaran untuk merayu.

Panel itu juga memerintahkan KDSB membayar RM10,000 kepada LPK sebagai kos perundangan.

Pada 25 September 2009, LPK memfailkan saman terhadap KDSB untuk mendapatkan kesahan perjanjian yang ditandatangani pada 12 November 2002 berkaitan tanah berkenaan yang bernilai RM1.88 bilion.

LPK juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa ia tidak sepatutnya dikenakan bayaran faedah RM720 juta bagi baki harga pembelian tanah berhubung perjanjian itu dan memohon dibayar balik faedah yang telah dibayarnya kepada KDSB.

LPK berkata perjanjian itu mengandungi kesilapan serta penipuan dan nilai setiap satu kaki persegi tanah berkenaan sepatutnya RM21, bukan RM25.

LPK juga mendakwa harga pembelian tanah itu sudah termasuk faedah yang akan dijelaskan dalam tempoh 15 tahun seperti yang tersebut di dalam perjanjian berkenaan.

Pada 7 Februaru tahun lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam meluluskan permohonan KDSB untuk mengetepikan saman itu.

Pada 25 Jun tahun yang sama, Mahkamah Rayuan mengekalkan saman itu setelah meluluskan rayuan LPK dengan alasan saman itu tidak boleh dikatakan tidak patut dikekalkan kerana terdapat fakta yang boleh dipertikai dan dibicarakan.

KDSB kemudian memfailkan permohonan kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengekalkan saman itu.

KDSB diwakili peguam N. Navaratnam, manakala LPK oleh peguam Khoo Guat Huat dan Cindy Khaw. -BERNAMA

Artikel Lain