suria

Bekalan Air Di Ibu Negara Semakin Pulih - Syabas

KUALA LUMPUR: Keadaan pam yang mengalami 'trip' di Rumah Pam Wangsa Maju Sabtu lepas kini stabil dan beransur pulih sejak petang semalam menyaksikan kebanyakan kawasan terjejas di ibu negara hampir pulih sepenuhnya, kecuali kawasan berkedudukan tinggi.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) Priscillia Alfred berkata bagaimanapun, sejumlah 5,500 pengguna air di Selangor masih mengalami gangguan bekalan akibat permintaan yang tinggi.

Beliau berkata sebanyak empat pam dilapor mengalami 'trip' pada Sabtu lepas menyebabkan penurunan paras air yang kritikal bagi kolam utama Syabas.

Katanya, pengurangan operasi pam itu menyebabkan gangguan air di Lembah Jaya Utara, Desa Lembah Permai, Kampung Muhibbah, Kampung Tasek Permai, Kampung Ampang Campuran, Kampung Tasik Tambahan, Taman Seri Baru dan Taman Dagang Jaya.

"Sebagai bantuan kecemasan, 10 lori tangki telah digerakkan di kedua-dua wilayah tersebut, dan sebanyak 134 aduan berhubung ketiadaan air di kawasan Gombak dan 43 aduan di Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain