suria

Felda Cadang Bina Pangsapuri Untuk Generasi Kedua

JEMPOL: Selepas membina rumah jenis berkembar, teres dan banglo, Felda kini bercadang membina unit kediaman jenis pangsapuri untuk ditawarkan kepada peneroka generasi kedua tanah rancangan itu.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata usaha di bawah projek 'Sentuhan Kasih Felda' itu adalah bagi meningkatkan bilangan unit rumah yang akan ditawarkan kepada peneroka.

"Saya telah minta bahagian perumahan di Lembaga Felda untuk membuat kajian mengenai perkara ini dan membuat rekaan bagi pangsapuri yang akan dibina untuk kita membuat lebih banyak lagi unit rumah.

"Kita belum putuskan bila akan laksana tapi kita bercadang untuk membuat secepat mungkin supaya lebih ramai generasi kedua Felda memiliki rumah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program 'Penghijauan Bumi' anjuran Tesco Stores Sdn Bhd di Dataran Sri Jempol, di sini, Sabtu.

Mohd Isa, yang juga anggota Parlimen Jempol, berkata pembinaan kediaman jenis pangsapuri akan membolehkan Felda menawarkan lebih banyak unit rumah berbanding kediaman jenis lain terutama bagi kawasan keluasan tanah yang kecil.

Katanya, pembinaan pangsapuri itu nanti akan mengguna pakai sistem binaan berindustri (IBS) sekali gus membolehkan unit-unit rumah ditawarkan pada harga yang lebih murah.

"Selain itu kita akan pastikan rumah itu selesa, lengkap dengan kemudahan seperti taman dan sebagainya untuk keselesaan penghuni serta menyediakan aspek keselamatan," katanya.

Mengenai program penghijauan bumi itu, beliau berkata ia bertujuan mendidik masyarakat setempat mengenai kepentingan memelihara dan menjaga alam sekitar. - BERNAMA

Artikel Lain