suria

Peniaga Mengaku Tidak Bersalah Mengurup Wang Tanpa Lesen

SHAH ALAM: Seorang peniaga pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan melakukan perniagaan pengurupan wang tanpa lesen pada Ogos tahun lepas.

Bazeer Ahmed Mohamed Ibrahim, 57, didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 01-676B aras satu Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini pada 30 Ogos 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Perkhidmatan Wang 2011 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(4) akta sama dengan denda maksimum RM5 juta atau dipenjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Haziq Razali daripada Bank Negara Malaysia memberitahu mahkamah kes itu tidak boleh dijamin tetapi jika mahkamah membenarkan jaminan beliau meminta jaminan RM50,000 dikenakan ke atas tertuduh.

Hakim M.Bakri Abdul Majid kemudian memberitahu tertuduh mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin tetapi Bazeer memohon wang jaminan diturunkan kepada RM10,000 kerana dia tidak mampu membayar jumlah itu.

M.Bakri kemudian membenarkan dia diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jun depan sebutan semula kes. -BERNAMA

Artikel Lain